BAPA KOPERAL NORIHAN SEDIH
TIDAK DAPAT MELAWAT ANAKNYA YANG CEDERA DITEMBAK
BERA: Keluarga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang cedera ditembak ketika sedang bertugas di pos keselamatan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar, Perlis, semalam masih berada dalam kesedihan.
Mangsa, Koperal Norihan Tari, 39 tahun parah terkena tembakan pada kanan perutnya dalam kejadian itu.
Abangnya, Zariman Tari ketika ditemui di rumahnya di Kampung Orang Asli Bukit Ibam, di sini berkata, bapanya kini masih berada dalam kesedihan selepas menerima perkhabaran kejadian itu sejak semalam.
Zariman ketika ditemui wartawan SAHIH di rumahnya di Kampung Bukit Ibam,Bera
Zariman berkata, ketika menerima 7panggilan daripada adiknya mengenai perkara itu, bapa mereka mula berasa sedih dan berharap dapat melawat anaknya dengan segera.
“Norihan baru pulang ke kampung di sini melawat bapa saya pada Oktober lalu.
“Namun selepas mendapat panggilan daripada adik mengatakan kejadian itu, bapa saya mulai sedih.
“Memang bercadang untuk melawat Norihan tapi maklumlah sekarang ni macam-macam dugaan dengan penyakit (COVID-19).
Zariman menunjukkan gambar Norihan yang sering menghubungi bapa mereka menerusi telefon pintar
“Tambahan kami pula duduk berjauhan, agak sukar untuk melawat dia,” katanya.
Bagaimanapun Zariman berkata, seluruh keluarganya berbangga dengan pengorbanan yang dilakukan adiknya itu yang disifatkan sebagai seorang yang bertanggungjawab kepada negara.
Zariman berkata, Norihan merupakan anak yang baik dan sering mengambil berat akan kesihatan bapa mereka.
Anak kedua itu juga kerap pulang ke kampung dan sering menelefon orang tuanya pada setiap hari.
Kejadian semalam telah mengorbankan rakan Norihan, Koperal Baharuddin Ramli, 54 tahun yang juga merupakan masyarakat Orang Asli suku kaum Semelai.