BANGKAI TAPIR DITEMUI DI TEPI JALAN
BANGKAI TAPIR DITEMUI DI TEPI JALAN
KOTA TINGGI: Bangkai seekor tapir dipercayai dilanggar kenderaan berat ditemui di Jalan Sedili – Tenggaroh, di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban, pihaknya menerima aduan awam mengenai penemuan itu jam10.40 pagi.
Katanya, siasatan lanjut di lapangan mendapati tapir jantan dewasa dianggarkan seberat 250 kilogram (kg) dipercayai mati akibat dilanggar.
“Ini kerana tidak menjumpai sebarang serpihan kenderaan yang melanggar tapir itu di lokasi kejadian.
Gambar Hiasan
“Kejadian disyaki berlaku pada sebelah malam atau awal pagi hari sama.
“Ukuran morfologi bangkai tapir terbabit sudah diambil sebelum ianya dilupuskan secara ditanam di lokasi berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH ONLINE.
Salman berkata, kejadian itu adalah kes kedua tapir mati dilanggar dalam tempoh kurang dua minggu, bagi tahun ini.
Katanya, kejadian pertama berlaku pada 27 Mac lalu membabitkan tapir jantan dianggarkan seberat 300 kg di Jalan Mersing-Jemaluang, Mersing.
“Sepanjang tahun lalu, sebanyak tujuh kes tapir mati dilanggar yang direkodkan di negeri ini iaitu enam daripadanya berlaku pada Januari dan Februari.
“Pengguna jalan raya diminta supaya berhati-hati ketika melalui kawasan lintasan hidupan liar kerana papan tanda amaran kebanyakannya sudah dipasang supaya kejadian seumpama tidak berulang,” katanya.