Foto : Ahmad Maslan menyampaikan plak dan sumbangan kepada Ikon Sukan Umno Bahagian Jerantut kepada pemain tenis kerusi roda Malaysia, Mohamad Yusshazwan Yusof yng berasal dari Jerantut di majlis tersebut.
Umno Bahagian Jerantut akan praktikkan formula ‘ABCDE’ yang diberikan.
JERANTUT – Ketua Umno Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah berkata, saranan dan cabaran yang disampaikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Maslan akan disebarluas kepada ahli Umno bahagian itu.
Katanya, formula itu wajar dihadam oleh ahli untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dan seterusnya merampas kembali semua kerusi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Jerantut.
“PRU-15, semua kerusi, parlimen dan tiga DUN terlepas ke tangan pembangkang dengan kekalahan 0-4, tapi PRU-16 nanti kita perlu bangkit dan semua kerusi itu akan menjadi milik kita.
“Kita tidak boleh leka, kita kena susun pendekatan, Umno Bahagian Jerantut perlu menggunakan formula menjalankan Aktiviti (A) sebanyak mungkin untuk mendekati pengundi, Berpadu (B) pula mesti Bersatu padu dan bersama parti komponen lain untuk mendapat sokongan yang kuat,” katanya.
Katanya, selain itu, calon ( C ) perlu dipersiapkan untuk menghadapi PRU-16 nanti, calon perlu sesuai dan berkaliber yang dianggap boleh menang (winnable), boleh diterima (acceptable) dan disukai (likeable) (WALI).
“Sementara itu data (D) perlu diperkemaskan di bilik ‘war room’ dengan memastikan semua kawasan sudah diperhalusi dengan warna penyokong yang wajar didekati dan emosi ( E ) pula, semua ahli Umno perlu mempunyai sikap dan sayangkan parti dengan sedaya upaya mempertahankan parti sebagai parti keramat.
“Memang, saranan itu (formula ABCDE) yang diberi oleh Timbalan Menteri Kerja Raya itu akan menjadi pedoman kepada Umno Bahagian Jerantut,” katanya.
Katanya, Umno Bahagian mahu calon perlu dipersiapkan lebih awal kerana tidak mahu calon saat akhir yang menjadi trend sebelum ini menyukarkan kepada jentera untuk bergerak dan berkempen memperkenalkan calon.
“Berkaitan dengan berkempen di PRK Nenggiri, Umno Jerantut akan bergerak membantu jentera di sana dengn membawa semangat sayangkan parti dan tidak mahu membiarkan jentera sana berjuang sendirian, oleh itu, Umno Jerantut akan turut turut berjuang bersama,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Abdul Rahman menerima penerangan daripada pelajar Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah (KVSHAS) Lipis, dekat sini, semalam.
KESUMA Kembara motosikal 150 promosi TVET
LIPIS – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengadakan Program kembara bermotosikal melibatkan 150 penunggang sempena Karnival Jelajah Madani Jom Masuk TVET Zon Timur 2024 melibatkan lapan lokasi utama agensi TVET untuk mempromosikan penjenamaan Kolej Universiti Institut Latihan Perindustrian (ILP).
Program itu yang diketuai oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, program ini merupakan inisiatif Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan agensi TVET dalam mempromosikan pendidikan dan latihan kemahiran (TVET) kepada masyarakat.
Katanya, promosi itu sebagai makluman kepada umum bahawa 100 peratus kemasukan penuntut ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan seramai 92 peratus mendapat pekerjaan setelah tamat belajar manakala baki lapan peratus tiada data diperoleh.
“Kejayaan kebolehpasaran penuntut dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara dilihat cemerlang mencapai 92 peratus.
“Daripada jumlah itu, 82 peratus bekerja dalam bidang yang mereka pelajari, contohnya jika penuntut belajar dalam bidang IT (teknologi maklumat) maka dia bekerja pun dalam bidang IT,” katanya sempena Kembara Jelajah TVET Madani 2024 di Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah (KVSHAS) Lipis, dekat sini, semalam.
Katanya, sekarang di ILP diusahakan untuk menambah bidang yang dinamakan program premium yang bermaksud lebih ‘hi-tech’, seperti ada kursus ada oil and gas di Pengerang (Johor), manakala di Melaka ada bidang automotif selain bekerjasama dengan Intel.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berharap agar ILP dan ADTEC mendapat penjenamaan semula sebagai kolej universiti supaya ia kekal relevan dengan tuntutan semasa pasaran kerja.
“Kalau dapat kita jadikan ILP sebagai Kolej Universiti Institut Latihan Perindustrian sebagai penjenamaan baharu.
“Kalau penjenamaan semula ini berjaya, bermakna ada 32 institusi lagi yang mampu menjadikan kita lebih cemerlang di masa depan dan boleh menarik minat lebih ramai anak-anak muda terlibat dalam bidang tertentu,”katanya.
Katanya, selain itu, permohonan kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke dalam bidang TVET dilihat meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini adalah hasil daripada promosi berterusan yang kita lakukan, pelajar-pelajar ini juga melihat peluang yang mereka dapati apabila menceburi TVET adalah lebih tinggi.
“Selain itu penglibatan pelajar dari pelbagai kaum seperti Cina, India, Kadazan , Bidayuh dan lain-lain ke dalam bidang TVET juga dilihat cukup memberangsangkan mencecah 25 peratus,”katanya.
Program Kembara Jelajah TVET Madani 2024 ini disertai 150 penunggang motosikal melibatkan lapan lokasi utama agensi TVET bermula di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Shah Alam, GiatMARA Raub, KVSHAS Lipis, Adtec Jerantut, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) Kuantan, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik dan berakhir ILP Kuala Terengganu bermula pada 22 Julai hingga 25 Julai.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penunggang cedera tersepit dalam kemalangan melibatkan sebuah lori
TEMERLOH – Seorang penunggang motosikal tersepit di bawah lori dan cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah lori di Jalan Bypass Kelulut – Kampung Belenggu pada jam 1.55 tengah hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin, Ridzuan Hashim melaporkan seramai lapan anggota bomba membuat kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan peralatan khas penyelamat (rescue tool dan telescopic ram).
Katanya, mangsa telah berjaya dikeluarkan dan seterusnya diserahkan kepada pihak pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Dari kiri, Baby Harjit Kaur Khaira, Elinda Nisabury, Anis Huda , Aisah Haslina dan Siti Rodia Abdul Molok.
Lima guru wanita SK Seksyen 20, berjaya genggam ijazah sarjana serentak
KUALA LUMPUR – Lima orang guru wanita berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana masing-masing serentak dalam satu istiadat konvokesyen di sebuah universiti yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, semalam.
Kelima-lima mereka yang sedang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20, Shah Alam, antara kira-kira 1,000 graduan yang menerima ijazahnya daripada Universiti City.
Guru SK Seksyen 20, Shah Alam, Elinda Nisabury (50) berkata, mereka mendapat makluman program ijazah sarjana pendidikan ketika menghadiri satu seminar yang diadakan di Universiti City anjuran sekolahnya pada awal 2022.
“Ketika menghadiri seminar Program Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) iaitu satu program pembangunan profesional yang diadakan, menggalakkan guru meningkatkan tahap akademik masing-masing.
“Bermula saat itu, saya dan beberapa rakan lain mula teruja dan berkira-kira untuk melanjutkan pelajaran dan mula berpakat bersama,” katanya ketika ditemui di WTC, semalam.
Rakannya, Baby Harjit Kaur Khaira (47) berkata, mereka berpakat bersama bersama empat rakan lain dan mula mendaftar dan mula mengharungi hidup sebagai pelajar hampir dua tahun dan perlu membahagi masa antara belajar dan mengajar.
“Bagus juga belajar bersama rakan lain dalam satu sekolah, apabila ada masa lapang, kami boleh berbincang, malah pada hari Sabtu kami berkumpul di kantin sekolah untuk menyiapkan tugasan secara persendirian dan berkumpulan.
“Terima kasih kepada pihak pentadbir yang turut menyokong kami melanjutkan pelajaran peringkat ijazah sarjana dalam pengkhususan Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan (Educational Management and Leadship),” katanya.
Seorang lagi guru dari sekolah yang sama, Aisha Haslina Otok berkata, menarik belajar bersama, ada lucu dan mendebarkan.
“Lucunya, kami berpakat berkongsi kereta untuk pergi kuliah, antara kami tertinggal komputer riba kerana sibuk dengan anak sebelum keluar rumah.
“Mendebar pula, ketika tiba waktu peperiksaan sedangkan pada waktu yang sama, banyak program di sekolah perlu juga dilaksanakankan, oleh itu kami kena bijak membahagi masa dan persiapan, ” katanya.
Rakannya, Anis Huda Amir Hamzah berkata, sokongan daripada keluarga turut memberi semangat untuk terus berjaya.
“Suami juga sebagai pembakar semangat kerana turut membantu ketika belajar dan menghadapi peperiksaan.
“Ketika ini, suami turut menjaga tiga orang anak, malah ibu dan bapa saya turut datang ke Kelang dari Pahang untuk turut membantu menjaga anak saya, lebih-lebih lagi ketika salah seorang anak saya demam,” katanya.
Katanya, mereka berlima bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian dan memperolehi ijazah sarjana, tidak lupa kepada barisan pentadbir yang turut menyokong penuh usaha mereka. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Anggota mencari dan penyelamat (SAR) berehat di lokasi pencarian.
LIPIS : Seluruh ahli keluarga Orang Kurang Upaya (OKU), Rosdan Mat (52) tahun yang hilang di Kampung Redan, dekat sini sejak 26 Jun lalu masih mengharap segera ditemui walaupun hanya jasadnya.
Ipar kepada lelaki hilang itu, Adnan Mat Isa (52) berkata, sudah masuk hari ke- 26, pelbagai usaha telah dilakukan selain mencari di sekitar kampung itu termasuk sekitar kawasan kebun getah berdekatan, jalan utama kampung dan jalan utama, Jerantut-Lipis serta di sekitar pekan Mela.
Katanya, penduduk kampung ini dan kampung berdekatan turut dimaklumkan agar sama-sama mencari semasa melakukan kerja menoreh getah di kebun masing-masing.
“Solat hajat dan bacaan Yassin turut dilakukan bagi memudahkan pencarian dan penemuan abang ipar saya malah memohon bantuan ustaz -ustaz, kita hanya berserah kepada Allah SWT agar abang ipar saya ditemui.
“Biarlah ditemui dengan segera walaupun hanya menemui jasadnya kerana usaha pencarian telah dilakukan oleh pasukan keselamatan yang ‘berkampung’ di kawasan kampung ini dan masih meneruskan operasi tanpa Lelah dan jemu,” katanya.
Katanya, petunjuk terakhir ditemui ialah rantai manik yang sering digunakan oleh Rosdan pada 2 Julai lalu digunakan untuk mengikat ‘senapang kayunya’ berdekatan jalan masuk ke kebun getah berdekatan.
“Saya dimaklumkan tempoh pencarian oleh pihak berkuasa keselamatan akan ditambah 14 hari lagi dan sekiranya tidak ditemui operasi akan dihentikan.
“Namun, jika ada petunjuk baharu, mungkin operasi mencari akan dijalankan semula,” katanya.
Adik kepada OKU yang hilang itu , Fauziah Mat (48) berharap abangnya segera ditemui walaupun hanya jasadnya.
“Saya dimaklumkan pencarian sekarang dilakukan di pinggiran hutan di sekitar kampung dan kebun getah di sini.
“Kami berdoa agar ditemui segera samada hidup atau mati, ini memudahkan urusan, kalau abang ‘dah tak ada’ pun kami terima dan reda,” katanya.
Katanya, abangnya sebelum ini pernah hilang selama 3 hari 2 malam pada tahun 2016 tetapi abangnya balik dengan selamat.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dilaporkan hilang dekat di sini pada 15 Julai lalu, kira-kira jam 9.30 malam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Zaiham Mohd Kahar berkata, polis menerima laporan kehilangan remaja tersebut pada 17 Julai, pada jam 12.15 pagi.
“Remaja tersebut, Nur Aina Faqihah Sharizan beralamat 143, Kampung Lama, Lurah Bilut dekat sini, berketinggian 165 sentimeter (cm) dan berat dianggarkan 60 kilogram (kg) bertubuh sederhana dan berkulit sawo matang.
“Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berkaitan remaja tersebut sila salurkan maklumat tersebut kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di nombor : 09-2231999,” katanya.
Katanya, orang ramai boleh menghubungi Balai Polis Bentong (09-2222222), Balai Polis (BP) Lurah Bilut (09-2377222), BP Bukit Tinggi (09-2330222), BP Karak (09-2311222); BP Telemong (09-2399222); BP Manchis (09-2450522) dan BP Genting Highlands (03-61012222).-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Selaku penerbit dan pengarah filem ZZAK, Mawi (tengah) dan isterinya Ekin Rahmat (kiri) menyantuni warga emas dari tiga pusat jagaan terbabit sebaik sahaja mengetahui kedatangan mereka ke panggung di pusat beli-belah Putrajaya.
30 penghuni rumah warga emas gembir dibawa ‘cuci mata’
Seramai 30 warga emas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) dan Pusat Jagaan Insan (PJI) di Semenyih dan Beranang dibawa untuk ‘cuci mata’ dalam program ‘outing’ ke pusat beli-belah di Putrajaya dan Taman Melawati, Selangor baru-baru ini.
Warga emas berkenaan yang dibahagi kepada dua kumpulan pada hari berbeza diiringi petugas serta ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) sebagai membantu melancarkan pergerakan mereka terutama yang perlu dipimpin atau berkerusi roda untuk meronda-ronda ‘cuci mata’ sekitar pusat membeli-belah berkenaan.
Ibarat rezeki tidak salah alamat, apabila warga emas, petugas serta sukarelawan terbabit mendapat tiket percuma untuk menonton filem Zim Zim Ala Kazim (ZZAK) yang ditaja seorang dermawan prihatin yang mahu mengembirakan hati warga emas di tiga pusat jagaan itu.
Mawi (tengah) sejak awal lagi sudah menunggu kumpulan warga emas yang berikutnya, petugas dan sukarelawan di panggung pusat membeli-belah di Taman Melawati bagi menyantuni mereka menonton filem ZZAK.
Bukan suatu yang mustahil mungkin ada dalam kalangan warga emas itu tidak pernah menonton filem dan melihat keadaan dalam panggung selain sudah tentu berasa seronok dapat bersama-sama rakan merasai pengalaman berkenaan.
Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata dia menzahirkan ucapan terima kasih kepada dermawan berkenaan yang menghubungi beliau untuk memaklumkan kesediaan menaja tiket bagi memberi peluang kepada warga emas memasuki panggung untuk menghiburkan hati menonton filem ZZAK.
Menurutnya, peluang sebegini memang belum pernah diterima dan ia sudah pasti menggembirakan hati warga emas terbabit dalam menghilangkan rasa bosan dan stres apabila hanya duduk berkurang di dalam bilik dan bergerak di sekitar pusat jagaan berkenaan sahaja.
Tambahnya, kebetulan pula jalan cerita filem berkenaan mempunyai nilai murni dan serta didikan moral yang sesuai untuk ditonton warga emas terbabit kerana mereka mungkin melalui perjalanan hidup seperti dipaparkan sebelum tersisih di pusat jagaan.
“Cerita itu boleh menjadi teladan kepada warga emas ini atau kita semua apabila menghadapi situasi perjalanan hidup dalam suasana masyarakat yang mempunyai pelbagai perangai serta perasaan terhadap orang sekeliling hingga membawa berlaku perkara tidak sepatutnya,” ujarnya ketika ditemui.
Muhammad Syafiq, berkata apabila mendapat tawaran daripada dermawan terbabit dia juga menganggap suatu inisiatif terbaik untuk membawa warga emas tiga pusat jagaan itu bersiar-siar sekitar pusat beli-belah yang mungkin belum pernah dilalui mereka.
Jelasnya, langkah itu juga dapat membuka minda warga emas berkenaan untuk melihat dunia luar yang sudah bertahun-tahun tidak berpeluang selepas mencari perlindungan di pusat jagaan berkenaan bagi meneruskan sisa-sisa hidup apabila disisih oleh ahli keluarga atau sanak saudara.
“Bagi warga emas pernah melalui keriangan hidup pada usia muda mungkin pusat beli-belah ini bukan suatu yang baharu bagi mereka malah menjadi tempat melepak bersama-sama rakan sepejabat atau sekolah sebelum berganjak usia dan terdampar di pusat jagaan.
“Apa pun yang berlaku kepada warga emas ini pada masa lalu akan turut dilalui generasi akan datang dan paling penting saya bersama petugas serta ahli KESUMA’24 berlapang dada serta berasa gembira dapat mengiringi mereka sehingga berakhir dengan menonton filem ZZAK,” katanya.
Seorang warga emas dari PJMM yang ditemui, Faridah Esa berkata, apabila dapat peluang datang beramai-ramai bersama rakan dari pusat jagaan untuk ‘cuci mata’ di pusat beli-belah serta menonton filem dia teringat kehidupannya sebelum itu yang pernah ikut ahli keluarga dan cucu ke panggung.
Katanya, tetapi semua itu tinggal kenangan sahaja kerana dia sudah lama tidak dapat melihat anak atau cucu selepas dibiarkan untuk mencari tempat berlindung sendiri sebaik sahaja discaj dari hospital sebaik sahaja sembuh menerima rawatan.
Seroang penghuni PJNH, Mohamed Tajuddin Mohamed Husain , dia berasa amat gembira dibawa untuk menonton filem di panggung walaupun terpaksa diiringi petugas dan sukarelawan bagi menjamin keselamatan diri kerana ramai yang sudah uzur selain perlu dibantu bagi melancarkan pergerakan.
“Saya juga suka jalan cerita filem ini kerana banyak memberi teladan di samping menyedarkan kita untuk mengekalkan kehidupan harmoni termasuk kami yang menjadi penghuni di pusat jagaan dan memiliki pelbagai perangai sehingga petugas serta sukarelawan terpaksa menyantuni dengan bijak.
“Ini rezeki saya kerana kebetulan bukan hari terpaksa mendapatkan rawatan dialisis apabila terpilih mengikut rakan-rakan senasib keluar berjalan ke pusat beli-belah seterusnya menonton filem ZZAK sebelum pulang ke pusat jagaan,” katanya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KGMMB setuju guru tidak dinaikkan gred ‘time-based’ secara automatik
JERANTUT : Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) setuju dengan saranan Perdana Menteri guru tidak dinaikkan gred secara automatik melalui ‘time-based’ sekiranya tidak mencapai tahap minima prestasi kerja yang sepatutnya.
Juhari Mohamad Nor
Presidennya, Juhari Mohamad Nor berkata, ingatan yang diberi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di perhimpunan sebuah kesatuan guru mahukan kualiti kerja guru diperkasakan dan selari dengan perubahan global.
“Memang ada yang ditahan kenaikan grednya secara ‘time-based’ tetapi yang berhadapan dengan kes melanggar disiplin yang boleh disekat daripada mendapat kenaikan.
“Sebelum proses seperti (penahanan) kenaikan gred ini telah dijalankan, selalunya apabila seorang guru itu menghadapi kes (disiplin), individu itu dipanggil dan ditegur serta diberi motivasi terlebih dahulu, seandainya tidak berubah, individu itu ditangguhkan kenaikan gred,” katanya.
Juhari berkata, pengumuman Perdana Menteri itu sebagai langkah memberi keadilan agar hanya guru yang benar-benar berkelayakan mendapat kenaikan gred atau pangkat.
“Kepada guru, usah gusar, laksanakan kerja dengan sebaik mungkin, jaga disiplin, pihak pentadbir di peringkat sekolah sebagai penilai tahu potensi anda, malah prestasi sebelum naik gred dinilai tiga tahun kebelakang.
“Anda buat kerja dengan baik dan berkualiti, prestasi anda akan diberi sesuai untuk diberi kenaikan gred ‘time-based’, begitu juga penilaian prestasi tahunan yang melayakan guru dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang (APC), katanya.
Katanya, beliau terharu dengan Perdana Menteri turut menyantuni guru dalam cuba menyelesai serta mendengar keluhan warga pendidik termasuk pelarasan gaji guru.
“Diharap guru, khususnya ahli KGMMB terus memberi peranan terbaik dalam menjalankan tugas mendidik anak bangsa untuk memajukan negara.
“Selain itu, kenaikan pangkat atau gred secara time-based adalah berasaskan kecemerlangan bertujuan untuk menyediakan peluang kemajuan kerjaya yang lebih baik kepada pegawai yang mencapai prestasi yang baik di samping menunjukkan sikap dan komitmen kerja yang positif,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Pasukan bomba melakukan pencarian di sekitar tempat kejadian.
Remaja lelaki dikhuatiri lemas di sungai berhampiran Kampung Orang Asli
PEKAN – Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika menaiki bot bersendirian untuk aktiviti menangkap ikan di sungai berhampiran Kampung Orang Asli Tanah Merah, dekat sini, semalam.
Penolong Pengarah (Bahagian Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba Kanan Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.55 pagi, semalam di mana remaja tersebut, Muhammad Danial Fakhrullah Mohd Azri, berusia 17 tahun dikhuatiri lemas di sungai tersebut.
“Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan dan bersama 18 anggota ke Lokasi kejadian dan turut disertai anggota polis seramai 14 orang ,APM (20) dan penduduk kampung 40 orang turut bersma dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Pencarian hari kedua hari ini, dipecahkan kepada empat kumpulan dan operasi mencari menjangkau sejauh 5 km dari tempat mangsa dipercayai terjatuh.
Katanya, mangsa masih belum dijumpai dan operasi ditangguhkan pada jam 6.45 petang dan akan disambung pada esok pagi. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Kemalangan meragut nyawa pembonceng remaja perempuan dalam perjalanan blik dari kelas mengaji Al-Quran, petng semalam.
Remaja perempuan maut dalam kemalangan selepas kelas mengaji.
LIPIS : Seorang pembonceng perempuan berusia 14 tahun maut dalam perjalanan balik selepas selesai kelas mengaji Al-Quran di Kilometer 20, Jalan Lipis – Merapoh berdekatan Kampung Gua dekat sini.
Kemalangan jalan raya itu melibatkan motosikal yang dibonceng bersama rakannya apabila bertembung dengan sebuah lori pada jam 5.50 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden, Ismail Man berkata, mangsa, Nor Arisya Husniyah Azli Hisham, berusia 14 tahun, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal, mangsa membonceng motosikal bersama rakannya yang baharu sahaja selesai kelas mengaji di kampung itu menghala ke arah Padang Tengku.
“Setiba di simpang tiga Padang Tengku, motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 58 tahun dari arah Ladang Selborne yang hendak pulang ke rumahnya di Kampung Selindang,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, akibat kejadian itu, Nor Arisya Husniyah maut di tempat kejadian, manakala rakannya yang membawa motosikal dikejarkan ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.
“Kes kemalangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!