ALTIMET SERTAI PKR
ALTIMET SERTAI PKR
KUALA LUMPUR – Penyanyi rap terkenal Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet kini sah menyertai PKR.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengumumkan penyertaan Altimet pada majlis Siri Temu Anwar di sebuah hotel di Ampang.
Penyampaian kad keahlian Altimet juga disampaikan oleh ibu penyanyi rap itu sendiri, Jamalah Agil.
Menurut Altimet, PKR menjadi pilihannya kerana negara kekurangan parti yang mempunyai DNA atau akar umbinya mempunyai sifat eksklusif.
“Mungkin dari segi kaum atau dari segi usia, saya rasa tempat untuk parti-parti ini atau betapa relavannya parti-parti ini semakin lama, semakin kurang.
“Tetapi, saya rasa PKR adalah parti untuk masa depan Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program.
Majlis malam ini turut menampilkan penghibur Afdlin Shauki serta Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari, lapor Malaysiakini.
Afdlin pada 30 Mac lalu telah pun mengumumkan penyertaannya ke dalam PKR.
Turut sama menyertai PKR, Hans Isaac, November lalu.
Afdlin pada malam ini menjelaskan penyertaannya ke dalam PKR sebagai ahli parti itu bertujuan melihat presidennya, Anwar Ibrahim diangkat menjadi perdana menteri.
“Apa sahaja yang Datuk Seri perlu dari segi media, kami sedia bantu.
“Kenapa saya berada di sini kerana saya percaya dahulu saya nak buat orang gembira, saya nak bantu orang dan akhir sekali saya nak tengok impian saya untuk melihat Anwar menjadi perdana menteri kita,” katanya di hadapan kira-kira 200 hadirin.
Sementara itu, Anwar yang juga ketua pembangkang ketika berucap berkata PKR bukan tempat untuk ahli politik yang tidak mahu menyuarakan kepentingan rakyat, atau yang sudah bosan dengan perjuangan membela nasib golongan bawahan.
Malah, kata Anwar, PKR juga bukan sebuah parti biasa yang menjadikan perebutan kuasa atau jawatan sebagai tunjang utama.
Katanya, PKR menjadikan denyut nadi rakyat bawahan sebagai modus operandi perjuangan dan ia harus diteruskan selagi daya.