CAT KERETA BERI PULANGAN LUMAYAN
DARIPADA HOBI KEPADA SUMBER PENDAPATAN LUMAYAN
KUANTAN: Bermula sebagai hobi dan aktiviti mengisi masa lapang, mengecat kereta akhirnya membuahkan hasil apabila mampu memberi peluang pekerjaan kepada Mohd Abdul Rahim Salleh,35, sekaligus menambah pendapatannya.
MOHD Abdul Rahim Salleh
Rahim berkata, atas dasar minat dan bakat yang dimiliki, beliau bermula dengan bekerja di sebuah bengkel kereta milik
orang lain pada 2003 sehingga 2009.
Namun bermula 2010 selepas mendapat pengalaman bekerja, Rahim membuka bengkel kereta dan mengecat di Tanjung Pasir, di sini, sehingga 2013.
Rahim kemudian berpindah ke bengkel di bawah syarikat Mr Carbon Enterprise,di Indera Mahkota 14, di sini kerana pasaran di kawasan itu lebih meluas selain persekitarannya yang lebih selesa.
ANTARA hasil kerja Mr Carbon Enterprise
“Ketika bekerja, saya juga belajar dan mencari pengalaman teknik semburan cat kerana tidak mudah untuk mengecat kereta
kerana ia memerlukan lebih tumpuan selain perlu ketelitian.
“Semburan cat kereta memerlukan kesabaran.. bukan senang untuk memuaskan hati pelanggan. Mereka mengeluarkan wang yang banyak dan kita sebagai pemegang amanah perlu bersikap jujur,” katanya.
Beliau berkata, setiap hari bengkelnya didatangi pelbagai jenis kereta dengan pelbagai ragam seperti cat yang terlalu lusuh dan cat yang merekah.
“Cabaran mengecat ialah prosesnya yang makan masa yang agak panjang. Alatan kereta perlu dibuka satu per satu, dibersihkan untuk menghilangkan habuk, disimen, digosok, disembur warna asas, semburan warna utama dan diakhiri
dengan menyapu kilatan.
“Sekiranya kereta tersebut pernah dicat sebelum ini, saya perlu mengikis cat lama terlebih dahulu dan kemudian baru
boleh buat proses-proses lain, ” ujarnya.
PROSES kemasan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum kenderaan dicat
Ujarnya, proses untuk menyiapkan sebuah kereta bergantung kepada saiz dan keadaan kereta dengan aggaran antara dua
minggu hingga berbulan.
Harga bagi kereta jenis Sedan boleh mencecah RM6,000 manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) pula mencecah
RM10,000 untuk cat warna istimewa.
Beliau berharap masyarakat memahami harga yang diberikan memandangkan proses dan teknik mengecat yang perlu
memiliki kesabaran dan ketelitian yang tinggi.