TANGGUH ANSURAN BANK PERLU IKUT KEPERLUAN
KUANTAN: Pengumuman kerajaan dengan menangguhkan atau mengurangkan ansuran bulanan pembiayaan memberi kelegaan kepada rakyat terutama kepada golongan belia.
Tengku Khairiduan Tengku Suhaimi,35, bersetuju dengan keputusan kerajaan itu memandangkan rakyat ketika ini berada dalam kesukaran akibat penularan pandemik Covid-19.
“Saya merupakan peniaga makanan di Pantai Cempaka,Kuantan dan amat terkesan ketika negara mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, sebelum ini.
“Walaupun saya tidak membuat pinjaman di bank namun saya bersetuju dengan pengumuman ini.
“Sekurang-kurangnya ia dapat membantu orang lain yang membuat pinjaman di bank dan saya percaya ia dapat mengurangkan beban,”katanya.
Sementara itu, bagi Mohd Izwan Basirun,35, berkata, pengumuman itu merupakan perkara terbaik setakat ini terutama bagi mereka yang terjejas ketika negara berdepan negara ancaman covid-19.
“Tambahan pula,masih ramai yang kehilangan pekerjaan ketika ini,katanya.
Bagi Norhanira Mat Tahar,35, pengumuman itu terbaik bagi mereka yang benar-benar kehilangan pekerjaan dan pendapatan tetap.
“Walaupun begitu, diingatkan mereka perlu menguruskan kewangan dengan betul kerana walaupun diberi penangguhan, namun jumlah hutang masih tidak berkurangan.
“Lebih baik belanja dengan berjimat-cermat kerana kita faham semua pihak kini berdepan dengan kesukaran kehidupan,”katanya.
Norasikin Abbas,35, pula berpendapat pengumuman itu akan memberi berita gembira kepada golongan B40 dan mereka yang benar-benar rasa terjejas.
“Bagi yang tidak terjejas, lebih baik bayar sahaja hutang di bank kerana lagi cepat bayar, cepatlah habis jumlah hutang masing-masing.
“Jika mereka terjejas, disarankan ambillah penangguhan atau mengurangkan ansuran bulanan di bank.Bergantung kepada kawangan masing-masing,”ujarnya.
Terdahulu kerajaan mengumumkan peminjam kategori B40 dan kumpulan perusahaan mikro diberi pilihan untuk menangguh atau mengurangkan ansuran bulanan pembiayaan mereka dengan pihak bank.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata itu adalah inisiatif kerajaan bersama institusi perbankan untuk menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40, yang menjadi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Katanya, bantuan itu juga akan memanfaatkan kumpulan perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga RM150,000.