BEKAS KETUA PENEROKA MANGSA BERITA PALSU
Berita Nasional/Viral
BEKAS KETUA PENEROKA MANGSA BERITA PALSU
JERANTUT: Bekas Ketua Peneroka FELDA Kota Gelanggi 3, Nordin Yit menjadi mangsa berita palsu apabila dikatakan meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan, pagi tadi.
Berita itu dikatakan mula tersebar kira-kira jam 10 pagi tadi melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.
Bekas Ketua Peneroka FELDA Kota Gelanggi 3, Nordin Yit
Beberapa rakan beliau yang menerima berita itu berasa amat terkejut dan terus menghubungi ahli keluarga Nordin bagi tujuan pengesahan.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, perkara itu bagaimanapun dinafikan ahli keluarga Nordin dan memaklumkan beliau mengalami kecederaan serius dalam kemalangan dekat Bandar Pusat Jengka.
“Ahli keluarga beliau memaklumkan ada menerima kiriman Whatsapp ucapan takziah daripada beberapa orang kawan rapat Nordin, namun selepas dimaklumkan keadaan sebenar, mereka terkejut kerana mendakwa mendapat berita mengenai kematian bekas Ketua Peneroka FELDA Kota Gelanggi 3 itu.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud
“Perkara ini sangat dikesali kerana ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita tidak sahih melalui laman sosial Facebook hingga mencetuskan kekecohan dalam kalangan kenalan Nordin,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, wakil peneroka sempat ke Hospital Jengka untuk memeriksa keadaan sebenar Nordin dan mendapati beliau mengalami kecederaan patah kaki dan mendapat rawatan awal di hospital berkenaan.
Katanya, Nordin masih ditempatkan di Hospital Jengka bagi rawatan lanjut dan tidak mengalami kecederaan parah seperti didakwa sesetengah pihak.
“Saya harap benda macam ini tidak berulang… sebelum nak sebarkan atau kongsi apa-apa berita, terutamanya berita membabitkan kematian, eloklah kita periksa kesahihan berita itu terlebih dahulu.
“Benda macam ini (kematian) bukan boleh dibuat main… kena tengok dan jaga sensitiviti ahli keluarga dan saudara-mara mangsa kemalangan… apatah lagi, kita kenal dengan mereka, jadi elok lebih berhati-hati dalam menyebarkan berita seperti ini,” katanya.