ANGKASA, SKM perkukuh daya saing koperasi Selangor
ANGKASA, SKM perkukuh daya saing koperasi Selangor
PETALING JAYA: Seramai 50 peserta mewakili 33 koperasi di Selangor menyertai Program Pembangunan Strategik Koperasi Negeri Selangor 2026 (Siri 1) bagi meningkatkan keupayaan pengurusan, tadbir urus dan pembangunan perniagaan.
Program anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Negeri Selangor dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Selangor itu berlangsung di Wisma Ungku A Aziz, Kelana Jaya, semalam.
Penyertaan membabitkan wakil koperasi dari Klang, Shah Alam dan Petaling dengan tumpuan terhadap pemantapan kepimpinan, pematuhan perundangan serta penerokaan peluang perniagaan baharu.
Antara pengisian program termasuk taklimat Mesyuarat ANGKASA Negeri Selangor 2027, penerangan berkaitan kawal selia koperasi, projek perniagaan ANGKASA serta kemas kini maklumat menerusi platform Coop Bridge.
Timbalan Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Datin Hajah Nor Faridah A Bakar berkata, latihan dan bimbingan berterusan penting bagi memastikan koperasi mampu meningkatkan prestasi pengurusan serta memperluas jaringan kerjasama.
Menurutnya, ANGKASA memainkan peranan membantu koperasi mengenal pasti peluang perniagaan yang berpotensi meningkatkan pendapatan dan memberi manfaat kepada anggota.
Sementara itu, Naib Presiden ANGKASA, Haji Zaharuddin Alias menekankan kepentingan tadbir urus berkesan, kesepaduan gerakan koperasi dan komitmen kepimpinan dalam memastikan sektor itu kekal berdaya saing.
Beliau turut mengingatkan kepimpinan koperasi supaya memperkukuh kerjasama strategik bagi menghadapi cabaran perniagaan dan perubahan persekitaran ekonomi.
Pengarah SKM Negeri Selangor, Norhayati Nayan pula berkata, pematuhan perundangan, ketelusan dan integriti perlu menjadi keutamaan dalam pengurusan koperasi.
Katanya, amalan berkenaan penting bagi menjamin kelestarian organisasi selain mengekalkan keyakinan anggota terhadap pengurusan koperasi.
Program itu dijangka diteruskan menerusi Siri 2 pada 4 November depan di Kuala Selangor, manakala sesi berikutnya dijadual berlangsung pada 2 Disember di Sepang.
Penganjuran secara berperingkat itu bertujuan memperluas manfaat pembangunan strategik kepada lebih banyak koperasi di Selangor, sekali gus memperkukuh sumbangan sektor berkenaan terhadap ekonomi negeri.-SAHIH
#ANGKASA #SKM #KoperasiSelangor #PembangunanKoperasi
