ANGKASA bantu pembeli rumah miliki peralatan elektrik harga berpatutan
ANGKASA bantu pembeli rumah miliki peralatan elektrik harga berpatutan
PUTRAJAYA: Pembeli rumah di bawah kendalian MyANGKASA Bina Sdn Bhd (MBSB) bakal menikmati kemudahan mendapatkan peralatan elektrik jenama LG pada harga kompetitif menerusi kerjasama strategik dengan Analytx Sdn Bhd.
Kerjasama itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menawarkan pakej kelengkapan rumah, sekali gus membantu pembeli mengurus perbelanjaan selepas memiliki kediaman.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, pemilikan rumah bukan sekadar membabitkan bayaran pendahuluan dan ansuran bulanan, malah turut memerlukan perancangan kewangan bagi menyediakan kelengkapan asas.
Menurutnya, pembelian peti sejuk, mesin basuh, televisyen dan peralatan elektrik lain boleh menjadi beban tambahan, khususnya kepada pembeli rumah pertama serta keluarga muda.
“Usaha membantu rakyat memiliki rumah perlu dilihat secara lebih menyeluruh.
“Kita bukan sahaja mahu lebih ramai rakyat berpeluang membeli kediaman, tetapi mahu mereka mengurus perbelanjaan selepas pembelian dengan lebih teratur dan berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis menandatangani MoU antara MBSB dengan Analytx Sdn Bhd di Hotel Zenith, di sini, pada 20 Oktober lalu.
Abdul Fattah berkata, kerjasama berkenaan turut membuka peluang menawarkan kemudahan bayaran ansuran menerusi skim potongan gaji ANGKASA atau kaedah pembiayaan bersesuaian.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaannya perlu mengambil kira kelayakan pelanggan, kemampuan membayar dan syarat pembiayaan bagi mengelakkan beban kewangan berlebihan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Analytx Sdn Bhd, Dato’ Nurashid Haji Noordin berkata, kerjasama berkenaan merangkumi pemilihan produk, pembekalan, penghantaran serta sokongan selepas jualan.
Katanya, kerjasama itu berpotensi diperluas kepada penyelesaian rumah pintar mengikut keperluan pasaran.
MBSB turut menyasarkan pembinaan 300 rumah MyVilla setahun di seluruh negara, khususnya untuk Generasi Kedua FELDA.
Syarikat itu juga merancang membangunkan 3,000 unit kediaman dalam tempoh lima tahun dengan sasaran Nilai Kasar Pembangunan (GDV) melebihi RM1 bilion.
Turut hadir, Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi MBSB, Dato’ Haji Kamarudin Ismail; Naib Presiden ANGKASA, Datuk Ibrahim Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Azrul Hisyam Munap.-SAHIH
#ANGKASA #MyANGKASABina #Perumahan #Koperasi
