RTS Link mula Februari 2027, keselamatan penumpang jadi keutamaan
RTS Link mula Februari 2027, keselamatan penumpang jadi keutamaan
JOHOR BAHRU: Kerajaan tidak mahu mengambil risiko dengan mempercepatkan operasi Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang dijangka digunakan ribuan penumpang setiap hari.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan memulakan operasi pada Februari 2027 dibuat secara bersama oleh Malaysia dan Singapura bagi memastikan semua aspek keselamatan serta kelulusan teknikal diselesaikan terlebih dahulu.
Katanya, projek berkenaan bukan mengalami kelewatan, sebaliknya tempoh tambahan diperlukan bagi membolehkan penilaian akhir dilaksanakan perunding keselamatan bebas.
“Kami sudah membuat keputusan dasar dan kedua-dua pihak termasuk pengendali RTS Link di Singapura dan Malaysia bersetuju dengan perkara ini.
“Saya juga sudah berhubung dengan Menteri Pengangkutan Singapura dan kami bersetuju Februari adalah tempoh yang selesa untuk memulakan operasi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Peluasan Perkhidmatan BAS.MY di Johor Bahru Sentral, di sini, Khamis lalu.
Loke berkata, operasi RTS Link sebenarnya berpotensi dimulakan seawal Januari, namun Februari dipilih sebagai tempoh penampan bagi memastikan proses penilaian keselamatan dan kelulusan berjalan lancar.
Menurutnya, kelulusan teknikal itu membabitkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Malaysia dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura.
Katanya, kerja fizikal stesen serta bangunan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sudah siap, manakala Oktober hingga Disember menjadi fasa kritikal bagi pelaksanaan ujian dan pentauliahan sistem.
“Kerajaan tidak mahu mengambil risiko dengan mempercepatkan proses ini kerana RTS Link adalah projek rentas sempadan yang membabitkan aspek keselamatan penumpang,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan proses ujian sistem dijadualkan diselesaikan menjelang 31 Disember ini sebelum penilaian keselamatan bebas dan kelulusan akhir diperoleh.
Katanya, tarikh tepat pembukaan perkhidmatan itu hanya akan diumumkan selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa kedua-dua negara.-SAHIH
#RTSLink #JohorBahruSingapura #AnthonyLoke #PengangkutanAwam
