Hasil Pahang tembus RM1 bilion lima tahun berturut-turut
Hasil Pahang tembus RM1 bilion lima tahun berturut-turut
TEMERLOH: Kutipan hasil Pahang bagi 2026 sudah melepasi RM1 bilion setakat ini, sekali gus menjadikan pencapaian itu direkodkan untuk lima tahun berturut-turut tanpa membebankan rakyat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian berkenaan adalah sesuatu yang luar biasa kerana pada tahun-tahun sebelumnya, kutipan hasil pada September lazimnya baru berada sekitar RM800 juta hingga RM900 juta.
“Pada malam ini, suka saya nak umumkan, kutipan hasil negeri bagi tahun 2026 sehingga hari ini sudah melepasi angka RM1 bilion untuk lima tahun berturut-turut, tanpa membebankan rakyat.
“Angka ini menunjukkan bahawa pengurusan kewangan dan pentadbiran negeri kita semakin kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Negeri Pahang di Temerloh, malam tadi. Sambutan berkenaan dihadiri kira-kira 7,000 pengunjung.
Sebelum ini, Pahang merekodkan kutipan hasil RM1 bilion bagi empat tahun berturut-turut sejak 2022, manakala kutipan setakat 2 September lalu dilaporkan mencecah RM950 juta.
Wan Rosdy berkata, pencapaian itu hasil usaha berterusan memperkemas sistem kutipan hasil, meningkatkan kecekapan pentadbiran, mengawal ketirisan serta mengoptimumkan sumber negeri.
Menurutnya, hasil yang diperoleh kerajaan negeri bukan untuk dibanggakan semata-mata, sebaliknya perlu dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai program pembangunan dan kesejahteraan.
Dalam perkembangan ekonomi, beliau berkata Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang pada 2025 meningkat kepada kira-kira RM71 bilion. Angka RM71 bilion itu turut dilaporkan kerajaan negeri pada Ogos lalu.
Pahang Media – Pahang Informasi Terkini
Pada masa sama, Wan Rosdy menegaskan kestabilan dan perpaduan menjadi asas penting kepada pembangunan negeri serta keyakinan pelabur.
“Kita boleh berbeza pandangan. Itu perkara biasa. Tetapi jangan sampai perbezaan menyebabkan kita bermusuh atau memutuskan hubungan.
“Kita berbeza, tetapi jangan berpecah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Hari Malaysia bukan sekadar memperingati tarikh pembentukan Malaysia pada 1963, sebaliknya membawa semangat hidup bersama, saling menghormati dan menerima kepelbagaian.-SAHIH
#kw hasil Pahang, Wan Rosdy, RM1 bilion, Hari Malaysia
