30 tahun di udara, Ivy tersentuh masih dihargai insan media
30 tahun di udara, Ivy tersentuh masih dihargai insan media
KUCHING: “Sebenarnya orang media seperti saya ini masih ada yang memandang.”
Demikian luahan veteran industri penyiaran, Uleyvia Ubang yang tersentuh selepas menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM, lebih-lebih lagi bersempena sambutan Hari Malaysia.
Uleyvia atau lebih dikenali sebagai Ivy menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak 2015 dan kini perlu menjalani rawatan dialisis secara berkala.
Namun, keadaan kesihatannya tidak menghalang beliau untuk terus berkhidmat dalam industri penyiaran yang sudah menjadi sebahagian besar hidupnya.
Ivy yang juga Penerbit Eksekutif Cats FM sudah berkhidmat bersama stesen radio berkenaan selama 30 tahun sejak 1996.
“Ini adalah satu penghargaan yang membuatkan saya rasa, oh sebenarnya orang media seperti saya ini masih juga ada yang orang pandang.
“Walaupun dalam keadaan sakit macam ini, kami orang media tetap terus melakukan pekerjaan kami dengan telus. Kami rasa gembira,” katanya.
Beliau ditemui selepas menerima sumbangan berkenaan di kediamannya di Kuching yang disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil; Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.
Hadir sama Pengurus Besar TM One Sarawak, Mohd Zulkifli Ismuni.
Tabung Kasih@HAWANA X TM adalah inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA menerusi sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat Telekom Malaysia bagi memperluas bantuan kepada pengamal media yang memerlukan.
Sejak peruntukan itu mula disalurkan pada Jun 2026, seramai 77 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat menerusi inisiatif berkenaan.
Secara keseluruhan, 847 pengamal media di seluruh negara sudah menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA sejak diperkenalkan pada April 2023.
Inisiatif diterajui Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi Bernama.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw Tabung Kasih@HAWANA, Uleyvia Ubang, pengamal media, Telekom Malaysia
