Permohonan pertubuhan lengkap boleh diproses bawah 15 hari
Permohonan pertubuhan lengkap boleh diproses bawah 15 hari
KUALA LUMPUR: Permohonan penubuhan pertubuhan yang lengkap menerusi Sistem eROSES V2.0 kini boleh diproses dalam tempoh kurang 15 hari, sekali gus mempercepat dan memudahkan urusan masyarakat.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, penambahbaikan sistem itu bertujuan memastikan urusan penubuhan serta pengurusan pertubuhan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan secara digital.
Menurutnya, tempoh berkenaan bagaimanapun bergantung kepada kelengkapan dokumen yang dikemukakan pemohon.
Katanya, bagi permohonan yang tidak lengkap, proses berkenaan mungkin mengambil masa lebih lama kerana memerlukan dokumen atau maklumat tambahan.
Mohd Zulfikar berkata, aspek keselamatan eROSES V2.0 turut diperkukuh menerusi penggunaan MyDigital ID dan proses e-KYC bagi tujuan pengesahan identiti pengguna.
Selain itu, jabatan turut menggunakan tandatangan digital bagi memastikan dokumen serta pengesahan yang dikeluarkan menerusi sistem berkenaan adalah sahih.
“Pengesahan ahli, sekarang (menggunakan) MyDigital ID. Siapa boleh jadi jawatankuasa, mereka boleh semak laporan tahunan, sama ada setiausaha menjalankan tugas atau tidak dan peranan mereka.
“Ia lebih mudah dan selamat,” katanya ketika ditemubual dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, Selasa.
Menurutnya, eROSES V2.0 turut mempunyai integrasi dengan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekali gus membolehkan pihak berkuasa tertentu membuat semakan berkaitan pertubuhan menerusi akses disediakan.
Katanya, sistem berkenaan bukan sahaja memudahkan proses pendaftaran pertubuhan, malah membolehkan penghantaran laporan serta penyata tahunan dibuat secara dalam talian.
Pada masa sama, pengguna juga boleh membuat semakan status urusan berkaitan pertubuhan masing-masing menerusi sistem berkenaan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw eROSES V2.0, JPPM, pendaftaran pertubuhan, MyDigital ID
