Penunggang motosikal maut, tiga lagi lari selepas kemalangan
Penunggang motosikal maut, tiga lagi lari selepas kemalangan
BENTONG – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Mempaga-Sertik, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa, Fazlizal Abdul Samad, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak ke bahu jalan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan yang membabitkan sebuah Perodua Myvi, Honda HR-V dan motosikal Modenas Versys yang ditunggang mangsa.
“Siasatan awal mendapati Honda HR-V dan motosikal berkenaan dalam perjalanan dari arah Sertik menuju Mempaga.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan dipercayai memasuki lorong perjalanan Honda HR-V dan motosikal terbabit.
“Pemandu Honda HR-V cuba mengelak ke kiri, namun pelanggaran berlaku dengan Myvi pada bahagian sisi kanan sebelum motosikal yang berada di belakang turut dilanggar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemandu Honda HR-V, lelaki tempatan berusia 41 tahun, tidak mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, pemandu dan dua penumpang Myvi dipercayai meninggalkan kenderaan itu dan melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.
“Polis sedang giat mengesan dan mengenal pasti pemandu serta dua penumpang terbabit.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Zaiham turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dan menyalurkan maklumat terus kepada polis bagi membantu siasatan.-SAHIH.
