Sumbangan orang ramai beri nafas baharu rumah dua beradik yatim
Sumbangan orang ramai beri nafas baharu rumah dua beradik yatim
PASIR PUTIH: Hasil sumbangan orang ramai, bumbung rumah usang yang menjadi tempat berteduh dua beradik yatim piatu di sini akhirnya berjaya dibaiki selepas sekian lama mereka terpaksa berdepan masalah kebocoran setiap kali hujan.
Pengerusi Mahabah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed berkata, sumbangan insan prihatin membolehkan pihaknya menukar kayu bumbung yang sudah reput selain menggantikan kepingan zink rumah berkenaan yang terlalu uzur.
Menurutnya, keadaan bumbung sebelum ini amat membimbangkan apabila terdapat kepingan zink yang terpaksa diikat menggunakan tali bagi mengelakkannya diterbangkan angin.
Lebih menyedihkan, kebocoran di beberapa bahagian menyebabkan air hujan mudah memasuki rumah sehingga membasahi tilam dan barangan milik dua beradik berkenaan.
“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur kerana hasil sumbangan insan prihatin, kayu bumbung yang reput dan zink yang sudah terlalu uzur akhirnya dapat ditukar.

“Keadaan sekarang lebih baik berbanding sebelum ini. Tambahan pula kita sedang melalui musim hujan dan jika bumbung lama masih digunakan, sudah tentu banyak bahagian dalam rumah akan basah,” katanya.
Che Norhayati berkata, walaupun masalah utama membabitkan bumbung sudah dapat diselesaikan, kerja membaik pulih kediaman berkenaan masih belum selesai sepenuhnya.
Katanya, pihaknya masih memerlukan sedikit sumbangan bagi menggantikan bahagian dinding yang sudah reput serta berlubang di beberapa tempat.
Selain itu, dua pintu baharu turut diperlukan termasuk bagi bahagian belakang rumah serta pintu utama yang ketika ini hanya ditutup menggunakan kepingan zink dan dipaku bagi tujuan keselamatan.

“Kami juga bercadang membina tandas di dalam rumah kerana tandas sedia ada terletak di luar kediaman.
“Keadaan itu agak membimbangkan terutama bagi adik perempuan yang berusia 18 tahun sekiranya terpaksa keluar menggunakan tandas pada waktu malam,” katanya.
Menurutnya, pihak pertubuhan turut berhasrat membina sebuah bilik kecil bagi memberikan ruang privasi dan keselesaan kepada remaja perempuan terbabit untuk tidur serta belajar.
Buat masa ini, katanya, rumah berkenaan tidak mempunyai bilik yang sesuai menyebabkan adik perempuan itu terpaksa tidur di ruang tamu bersama abangnya.
Selain kerja membaiki struktur rumah, beberapa keperluan asas lain seperti siling, kipas, katil, almari pakaian dan almari makanan turut diperlukan bagi menjadikan kediaman itu lebih selesa.
Sebelum ini, Mahabah Asnaf Society tampil membantu dua beradik berkenaan selepas dimaklumkan mengenai keadaan rumah mereka yang terlalu uzur dan serba kekurangan.
Abang mereka yang berusia 20 tahun terpaksa berhenti belajar bagi mencari rezeki sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan tidak seberapa.
Pendapatan itu digunakan untuk menampung keperluan harian termasuk perbelanjaan sekolah adiknya serta membeli makanan untuk mereka berdua.
Che Norhayati berkata, pihaknya berharap lebih ramai insan prihatin tampil menghulurkan bantuan supaya kerja membaik pulih rumah itu dapat disempurnakan secara berperingkat.
Katanya, bantuan yang diberikan bukan sahaja dapat menyediakan kediaman lebih selamat malah memberi sedikit keselesaan kepada dua beradik terbabit selepas kehilangan tempat bergantung.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam Mahabah Asnaf Society, 03072010143853.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Che Norhayati di talian 011-25466362.-SAHIH
#kw dua beradik yatim, Mahabah Asnaf Society, rumah uzur, sumbangan
