Jangan taksub fahaman jamin syurga
Jangan taksub fahaman jamin syurga
KUALA LUMPUR: Masyarakat diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan ideologi atau fahaman yang mendakwa sokongan terhadap entiti tertentu mampu menjamin seseorang memperoleh syurga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, fahaman sedemikian berpotensi mencetuskan perpecahan dan salah faham, sekali gus menjejaskan keamanan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Menurutnya, penyebaran fahaman salah juga boleh menyebabkan sesuatu isu yang sebenarnya mudah diselesaikan menjadi lebih sukar dan kompleks apabila tiada persefahaman dalam masyarakat akibat sikap terlalu taksub terhadap sesuatu ideologi.
“Dari perspektif Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kita mahu memberi penerangan dan pencerahan kepada masyarakat, khususnya umat Islam di Malaysia serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi dialog bersama Kelab Concorde di Wisma Bernama, Khamis.
Zulkifli berkata, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila terdapat pihak berkepentingan menggunakan isu sensitif serta bersifat perkauman untuk meraih sokongan.
Katanya, pendekatan sebegitu hanya akan meningkatkan ketegangan dan menyukarkan usaha membina keharmonian antara masyarakat.
Justeru, beliau berkata pihaknya akan terus mengambil pelbagai langkah bagi meningkatkan kesedaran serta pemahaman masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan fahaman yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Kita akan meneruskan program dan inisiatif seperti kempen Kita Kawan, Sebarkan Salam, Madani Membantu serta Jom Solat.
“Insya-Allah, menerusi kempen ini kita dapat mewujudkan pemahaman yang lebih baik dan seterusnya membina masyarakat yang lebih harmoni,” katanya.
Beliau berkata usaha berterusan itu penting bagi memastikan masyarakat mampu menilai sesuatu perkara dengan rasional serta tidak terperangkap dengan sentimen atau ideologi yang boleh memecahbelahkan rakyat.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Dr Zulkifli Hasan, Hal Ehwal Agama, ideologi, fahaman, perpaduan, keamanan, Kita Kawan, Sebarkan Salam
