Anwar hadir makan malam sempena MTPMA63 di Sabah
Anwar hadir makan malam sempena MTPMA63 di Sabah
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MTPMA63), di sini, Khamis.
Ketibaan Anwar pada 7.50 malam disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah menteri Persekutuan dan negeri, ketua jabatan negeri serta Persekutuan selain wakil agensi berkaitan kerajaan.
Pada majlis itu, Perdana Menteri bersama tetamu dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional Sabah sebelum jamuan makan malam disajikan.
Penyanyi tempatan, Azharina Azhar, Sumarli Loli dan Ryenald Guntabid turut membuat persembahan bagi menghiburkan tetamu yang hadir.
Terdahulu, Anwar tiba di Sabah pada 6.45 petang bagi lawatan kerja dua hari yang turut membabitkan beberapa program rasmi.
Antara agenda utama lawatan beliau ialah mempengerusikan Mesyuarat MTPMA63 Tahun 2026 yang dijadual berlangsung pada Jumaat.
Mesyuarat berkenaan menjadi antara platform penting bagi membincangkan pelaksanaan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963, khususnya melibatkan Sabah dan Sarawak.
Anwar turut dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Likas sebelum meneruskan lawatan ke pusat pemindahan sementara mangsa kebakaran Kampung Numbak di Dewan Serbaguna Damai pada tengah hari.
Lawatan itu adalah sebahagian daripada jadual rasmi Perdana Menteri sepanjang berada di Sabah.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Anwar Ibrahim, MTPMA63, Sabah, Kota Kinabalu, Hajiji Noor, Abang Johari Tun Openg, MA63
