Selangor cipta sejarah juara berganda SUKMA, Para SUKMA
Selangor cipta sejarah juara berganda SUKMA, Para SUKMA
SHAH ALAM: Selangor melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara keseluruhan Para SUKMA Selangor 2026, sekali gus melengkapkan kejuaraan berganda selepas turut mengungguli SUKMA edisi ke-22 bulan lalu.
Kontinjen tuan rumah menamatkan saingan enam hari itu dengan kutipan 93 pingat emas, 55 perak dan 52 gangsa, mengatasi Sabah yang berada di tempat kedua dengan 69 emas, 51 perak dan 45 gangsa.
Sarawak pula menamatkan saingan di tempat ketiga selepas mengumpul 52 emas, 32 perak dan 54 gangsa.
Kejayaan Selangor turut diserikan dengan pengiktirafan perenang, Muhammad Safwan Suhaimi, 21, sebagai Atlet Para Lelaki Terbaik Para SUKMA Selangor 2026.
Safwan menyumbang enam emas dan satu gangsa, selain memperbaharui dua rekod kebangsaan serta satu rekod kejohanan.
Dia mencipta rekod kebangsaan dalam acara 100 meter gaya kupu-kupu S9 dan 200 meter rampaian individu SM9/SM10, selain memecahkan rekod kejohanan bagi acara 100 meter kuak lentang S9.
“Saya gembira. Saya mula kompetitif pada 2022. Ketika SUKMA MSN 2022, saya nampak masa depan saya dalam sukan renang.
“Pada Para SUKMA 2022, saya dapat satu emas dan tiga perak. Bagi saya pencapaian itu agak luar biasa dan selepas itu saya terus berlatih,” katanya.
Sementara itu, atlet para olahraga Sarawak, Noshazwani Maisara Marzuki, 22, dinobatkan Atlet Para Wanita Terbaik selepas memenangi dua emas dan satu perak dalam acara merejam lembing F37 serta lontar peluru F37.
Lebih membanggakan, catatan 8.93 meter dalam lontar peluru meletakkannya dalam kelompok 10 terbaik dunia di peringkat Paralimpik.
Kedua-dua atlet menerima wang tunai RM5,000 dan piala iringan yang disampaikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada majlis penutupan di Selangor International Trade Centre, Khamis.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan bendera Para SUKMA kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud sebagai simbolik Kelantan menjadi tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA edisi ke-23 pada 2028.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Para SUKMA Selangor 2026, Selangor, Muhammad Safwan Suhaimi, Noshazwani Maisara Marzuki, Amirudin Shari, Kelantan
