Lebih 65,000 kandungan masih gagal diturunkan
Lebih 65,000 kandungan masih gagal diturunkan
KUALA LUMPUR: Lebih 65,000 kandungan dalam talian yang diminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya diturunkan masih boleh diakses meskipun permohonan sudah dikemukakan kepada platform berkaitan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, hampir 91 peratus daripada keseluruhan permohonan penurunan kandungan itu membabitkan kandungan penipuan atau scam serta perjudian dalam talian yang menyalahi undang-undang.
Menurutnya, MCMC mengemukakan lebih satu juta permohonan penurunan kandungan kepada platform dalam talian bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Ogos lalu.
Katanya, walaupun kadar pematuhan keseluruhan mencecah hampir 93 peratus, baki kandungan yang masih belum diturunkan tetap menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan dalam talian.
“Namun, kadar pematuhan 93 peratus masih meninggalkan lebih 65,000 kandungan yang tidak diturunkan selepas permintaan MCMC.
“Jumlah itu penting. Hampir 91 peratus daripada semua permohonan penurunan kandungan ini berkaitan kandungan scam atau perjudian dalam talian haram,” katanya.
Fahmi berkata, kerangka keselamatan dalam talian Malaysia meletakkan tanggungjawab lebih besar kepada platform digital termasuk memastikan aspek keselamatan kanak-kanak diterapkan sejak peringkat reka bentuk.
Menurutnya, ia turut merangkumi pengesahan umur pengguna, penilaian risiko secara proaktif serta tadbir urus kandungan yang lebih kukuh.
Katanya, usaha membina kepercayaan pengguna amat penting memandangkan semakin ramai rakyat Malaysia bergantung kepada platform digital untuk berkomunikasi, mendapatkan perkhidmatan serta menjalankan urusan perniagaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan M360 ASEAN 2026 di Kuala Lumpur.
Program dua hari itu menghimpunkan menteri, badan kawal selia dan pemimpin industri bagi memperkukuh kerjasama digital serta membina ekosistem digital ASEAN yang lebih selamat dan dipercayai.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Fahmi Fadzil, MCMC, scam, perjudian dalam talian, keselamatan dalam talian, platform digital, M360 ASEAN 2026
