Lonjakan harga bahan api tekan prestasi kewangan MAG
Lonjakan harga bahan api tekan prestasi kewangan MAG
KUALA LUMPUR: Lonjakan mendadak harga bahan api susulan konflik di Asia Barat memberi tekanan besar terhadap prestasi kewangan Malaysia Aviation Group (MAG), selepas kumpulan itu mencatatkan keuntungan bagi dua bulan pertama tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, Januari dan Februari menyaksikan prestasi kewangan kumpulan berada pada landasan positif sebelum berlaku peningkatan mendadak harga bahan api selepas konflik berkenaan memuncak pada 28 Februari lalu.
Menurutnya, harga bahan api ketika itu melonjak sehingga kira-kira AS$237 setong sebelum berada sekitar AS$160 setong ketika ini.
Katanya, keadaan berkenaan memberi tekanan ketara terhadap prestasi kewangan kumpulan memandangkan kos bahan api merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan kos operasi MAG.
“Setiap kenaikan AS$1 harga bahan api memberi kesan kira-kira RM50 juta kepada kos tahunan kami,” katanya ketika ditemui media sempena pengenalan laluan baharu MAG di sini, Jumaat.
Nasaruddin berkata, bagi mengurangkan kesan peningkatan kos, MAG melaksanakan beberapa langkah pengoptimuman rangkaian dan kawalan perbelanjaan termasuk mengurangkan kira-kira lima peratus kapasiti tempat duduk tersedia mengikut kilometer (ASK).
Katanya, kumpulan itu turut memantau keadaan pasaran setiap hari bagi mengenal pasti laluan yang paling berdaya maju dari segi komersial serta memastikan penggunaan sumber dilakukan secara berkesan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Malaysia Airlines mencatatkan prestasi operasi kukuh sepanjang 2026 dengan jumlah penumpang setakat ini mencecah 10.6 juta orang, meningkat lebih 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Firefly pula merekodkan 1.5 juta penumpang bagi tempoh sama.
Menjelang 2030, Malaysia Airlines dijangka menerima kesemua 25 pesawat Boeing 737 MAX 8 dan 20 pesawat A330neo, sekali gus menjadikan keseluruhan armada kumpulan mencecah sehingga 149 pesawat.
Sementara itu, Malaysia Airlines akan menyambung semula penerbangan ke Busan, Korea Selatan mulai Disember 2026, manakala Firefly memperkenalkan penerbangan terus ke Kunming, China.
Malaysia Airlines turut menawarkan tambang pergi balik promosi ke Busan bermula RM2,139 bagi Kelas Ekonomi dan RM4,999 bagi Kelas Perniagaan.
MAG Culinary Solutions pula sedang memperluaskan keupayaan penyediaan makanan dalam penerbangan menerusi kemudahan baharu yang disasarkan siap pada suku keempat 2028.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Malaysia Aviation Group, MAG, Malaysia Airlines, Firefly, Nasaruddin A Bakar, harga bahan api, Asia Barat, Busan, Kunming, Boeing 737 MAX 8, A330neo
