Didakwa bunuh lelaki dalam pergaduhan kongsi gelap
Didakwa bunuh lelaki dalam pergaduhan kongsi gelap
SHAH ALAM: Sekumpulan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam kejadian pergaduhan yang dipercayai berkait permusuhan dan perebutan kawasan antara dua kumpulan kongsi gelap, bulan lalu.
Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes pembunuhan berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama lapan lagi individu yang masih bebas didakwa menjadi ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama membunuh Ganesan, 23.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Mandolin, Taman Alam Megah, Shah Alam pada jam 1.59 tengah hari, 25 Ogos lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 302 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni.
Tiga daripada tertuduh pula diwakili peguam Navin Punj dan Nur Aida Md Zainuddin.
Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar pada 27 Ogos lalu mengesahkan berlaku pergaduhan membabitkan sekumpulan individu sehingga menyebabkan seorang lelaki maut.
Polis percaya kejadian berkenaan berpunca daripada permusuhan dan perebutan kawasan antara dua kumpulan kongsi gelap.
Siasatan turut dijalankan bagi mengesan lapan lagi individu yang dipercayai terbabit dan masih bebas.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Mahkamah Majistret Shah Alam, bunuh, Ganesan, kongsi gelap, pergaduhan, Taman Alam Megah, Seksyen 302, Seksyen 149, Datuk Shazeli Kahar
