Empat maut nahas 11 kenderaan di LPT
Empat maut nahas 11 kenderaan di LPT
TEMERLOH: Empat maut manakala beberapa individu cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah Lanchang ke Kuantan, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.44 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab dengan bantuan BBP Temerloh dan BBP Karak dikerahkan ke lokasi.
Katanya, tiga mangsa iaitu seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak lelaki yang menaiki Proton S70 disahkan meninggal dunia selepas tersepit, manakala seorang lagi lelaki yang menaiki Honda CRV turut maut. Seorang lagi lelaki dalam Honda CRV serta pemandu lori tangki mengalami kecederaan selepas tersepit dan dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kemalangan itu membabitkan dua Proton Saga, dua Perodua Myvi, Toyota Alphard, bas ekspres Mayang Sari yang membawa 30 penumpang, Proton S70, lori tangki, Honda CRV, Toyota Hilux dan Perodua Aruz. Operasi yang membabitkan anggota dari tiga balai bomba berkenaan berjaya dikawal pada 2.48 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 2.50 pagi hari ini.-SAHIH
#kw: LPT, kemalangan, empat maut, 11 kenderaan, JBPM Pahang, Mohd Salahuddin Isa, Mentakab
