Malaysia sasar eksport peranti perubatan lebih RM50 bilion menjelang 2030
Malaysia sasar eksport peranti perubatan lebih RM50 bilion menjelang 2030
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melonjakkan nilai eksport peranti perubatan melepasi RM50 bilion menjelang 2030 berbanding RM34.54 bilion yang direkodkan tahun lalu, seiring usaha memperkukuh kedudukan negara dalam industri teknologi perubatan (MedTech) global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu adalah antara tiga aspirasi utama yang dicadangkan bagi mengukur kemajuan pembangunan industri MedTech negara menjelang 2030.
“Kita mempunyai asas pembuatan, akses pasaran dan keyakinan global. Namun, fasa pertumbuhan eksport seterusnya perlu semakin dipacu oleh produk bernilai lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan International Medical Device Exhibition and Conference (IMDEC) 2026, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, aspirasi kedua ialah melahirkan sekurang-kurangnya 10 syarikat MedTech tempatan yang mampu menjadi peneraju dan bersaing di peringkat serantau serta global.
Katanya, Malaysia akan terus mengalu-alukan syarikat MedTech antarabangsa terkemuka, namun pada masa sama perlu membangunkan syarikat tempatan yang mampu mencipta teknologi, memiliki harta intelek sendiri dan menembusi pasaran antarabangsa.
Aspirasi ketiga pula menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus pekerjaan yang diwujudkan menerusi pelaburan baharu MedTech menjelang 2030 terdiri daripada jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan (MTS).
Ia berbanding hanya 33.1 peratus dalam sektor peranti perubatan pada 2025.
“Jika kita serius mahu menggelarkan industri ini sebagai industri bernilai tinggi, pekerjaan yang diwujudkan juga perlu semakin bernilai tinggi,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, pembangunan bakat perlu dilakukan sebelum pelaburan masuk dan bukan hanya selepas syarikat berdepan kekurangan tenaga kerja.
Beliau turut menggesa pemain industri bekerjasama lebih awal dalam membentuk program latihan, mengenal pasti kemahiran masa depan, menyediakan pendedahan industri serta membuka lebih banyak laluan perantisan.
Pada 2025, sebanyak RM4 bilion pelaburan baharu sektor peranti perubatan diluluskan membabitkan 46 projek yang mewujudkan hampir 3,400 peluang pekerjaan.
Industri peranti perubatan global bernilai lebih AS$572 bilion tahun lalu dan dijangka melepasi AS$1 trilion menjelang 2034.
IMDEC 2026 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Ogos menghimpunkan lebih 160 pempamer serta lebih 50 penceramah serantau dan antarabangsa dalam bidang regulatori, inovasi dan transformasi penjagaan kesihatan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Ahmad Zahid Hamidi, peranti perubatan, MedTech, eksport Malaysia, IMDEC 2026, TVET, pelaburan, teknologi perubatan, pekerjaan bernilai tinggi
