Persiapan Hari Kebangsaan 2026 hampir sempurna
Persiapan Hari Kebangsaan 2026 hampir sempurna
PUTRAJAYA: Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya kini memasuki fasa akhir dengan tahap kesiapsiagaan hampir 100 peratus menjelang raptai penuh yang dijadualkan berlangsung esok.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keseluruhan persiapan berjalan lancar dan beliau berpuas hati dengan komitmen serta kesiapsiagaan semua pihak yang terbabit dalam menjayakan sambutan berkenaan.
Menurutnya, masih terdapat beberapa perkara kecil yang perlu diperhalusi terutama membabitkan pergerakan kontinjen serta penyelarasan akhir sebelum acara kemuncak pada 31 Ogos ini.
“Saya ada sampaikan pandangan saya dan beberapa perkara untuk dikemaskan. Ada setengah kontinjen dari segi pergerakan mungkin sedikit jauh daripada kontinjen yang sebelumnya.
“Jadi, perlu diperkemas sedikit. Tapi insya-Allah esok, kita percaya semua sudah capai hampir 100 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau sesi raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya.
Fahmi berkata, raptai penuh yang akan berlangsung esok menjadi medan terakhir untuk memastikan setiap pergerakan, susunan kontinjen dan persembahan dapat dilaksanakan dengan teratur sebelum sambutan sebenar.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini turut menampilkan beberapa aset serta kontinjen khas yang dijangka mencuri perhatian pengunjung.
Antaranya ialah penyertaan Johor Military Force (JMF) selain aset maritim Bot Kelas Ibrahim yang akan dipamerkan sempena acara berkenaan.
Persiapan akhir itu dijangka terus diperhalusi bagi memastikan kelancaran keseluruhan acara serta memberi pengalaman terbaik kepada orang ramai yang hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Hari Kebangsaan 2026, Dataran Putrajaya, Fahmi Fadzil, raptai penuh, HKHM 2026, Johor Military Force, JMF, Bot Kelas Ibrahim, sambutan Merdeka, Putrajaya
