STORM siap sedia digerak bantu misi SAR di Nepal
STORM siap sedia digerak bantu misi SAR di Nepal
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meletakkan Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan ke Nepal bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa bencana di negara berkenaan.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, tahap kesiapsiagaan pasukan kini berada pada tahap tertinggi dengan segala persiapan awal termasuk dokumentasi anggota sudah dilakukan.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan pasukan dapat digerakkan dalam tempoh singkat sekiranya menerima permohonan rasmi daripada kerajaan Nepal.
“Kita sebenarnya memang telah bersedia dengan pasukan untuk digerakkan khususnya daripada pasukan STORM kita dan tertakluk pada permohonan daripada kerajaan Nepal serta arahan daripada Kementerian Luar dan NADMA.
“Kita memang telah menyediakan pasukan khususnya dari segi kemahiran dan yang paling penting ialah dokumentasi awal yang sudah kita sediakan bagi setiap pasukan, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Nor Hisham berkata, JBPM masih memantau rapat keadaan dua anggotanya, Fakhrul Munir Mohamad Isa dan Muhammad Sani Harun yang merupakan antara 57 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi susulan banjir besar melanda daerah Rasuwa, Nepal.
Menurutnya, komunikasi terakhir dengan kumpulan ekspedisi yang turut disertai Fakhrul adalah pada pagi 26 Ogos lalu.
Kumpulan berkenaan disertai sembilan peserta trekking termasuk dua pegawai JBPM serta seorang ejen tempatan di Nepal.
Nor Hisham berkata, pihaknya terus mendapatkan perkembangan melalui hubungan dengan ahli keluarga mangsa serta sumber di Nepal.
Pada masa sama, JBPM bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya khidmat pasukan penyelamat negara diperlukan bagi membantu operasi rentas sempadan di kawasan bencana.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: JBPM, STORM, Nepal, banjir Nepal, operasi mencari dan menyelamat, Nor Hisham Mohammad, Fakhrul Munir Mohamad Isa, Muhammad Sani Harun, NADMA, Wisma Putra
