Himpunan aman bantah kenaikan harga minyak
Himpunan aman bantah kenaikan harga minyak
TEMERLOH: Bekas Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Datuk Mohd Rofaie Hamdan mendakwa kenaikan mendadak harga diesel sehingga lebih 100 peratus dalam tempoh dua minggu disifatkan sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.
Beliau berkata, kenaikan itu bukan sahaja membebankan rakyat, malah memberi kesan besar kepada ekosistem perniagaan dan ekonomi negara termasuk peniaga kecil.
Menurutnya, alasan kerajaan yang mengaitkan kenaikan harga minyak dengan faktor perang juga dipersoalkan kerana beberapa negara jiran seperti Thailand, Vietnam, Bangladesh, Jepun dan China masih menawarkan harga lebih rendah berbanding Malaysia.
“Malaysia merekodkan lebihan dagangan (trade surplus) sebanyak RM18 bilion pada 2025, namun persoalannya ke mana perginya keuntungan itu.
“Kita bukan minta harga minyak turun dengan kadar logik akal , tetapi mahu harga yang stabil, berpada dan telus,” katanya ketika berucap pada perhimpunan di Lurah Semantan, di sini, hari ini.
Rofaie turut mendakwa mekanisme penetapan harga minyak melalui Automatic Price Mechanism (APM) yang menggunakan rujukan harga MOPS Singapura perlu dijelaskan kepada rakyat secara telus.
Katanya, pengusaha stesen minyak turut terbeban apabila subsidi diesel terpaksa ditanggung terlebih dahulu oleh pengusaha sebelum dibayar semula, selain caj transaksi kad debit satu peratus yang dikenakan bank.
“Untung stesen minyak tetap, diesel 12.8 sen dan petrol 15 sen seliter. Tetapi modal pusingan semakin tinggi hingga ada stesen kecil di kampung tidak mampu beroperasi,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan perbezaan harga minyak di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak yang didakwa tidak mengalami kenaikan mendadak.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Orang Merdeka dan Cakna Temerloh (KOME CAKNA), Jamil Yaakob berkata, himpunan itu diadakan sebagai tanda solidariti rakyat terhadap isu kenaikan harga minyak yang semakin menekan kos sara hidup.
Beliau berkata, himpunan itu bukan bertujuan mencetuskan kekacauan, sebaliknya menjadi suara rakyat secara aman.
“Kami mendesak kerajaan mengkaji semula mekanisme penetapan harga minyak, memastikan subsidi disalurkan secara adil dan berkesan serta mengambil kira realiti kehidupan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Himpunan itu turut dihadiri Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali serta Datuk Dr Nor Zamshuri Ramli.

Turut hadir Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Hassanuddin Salim; ADUN Lanchang, Tuan Hassan Omar serta Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus.
Influencer Papabery Studio dan Irwan Fahmi Ideris (Perkasa) turut kelihatan menyertai himpunan berkenaan. – SAHIH
