Menabung dalam serba kekurangan, pegang pesan arwah suami hingga jejak Tanah Suci
Foto : Norhuda Hassan membuat persiapan untuk berangkat ke Tanah Suci pada 5 Mei ini.
Menabung dalam serba kekurangan, pegang pesan arwah suami hingga jejak Tanah Suci
JERANTUT – Dalam himpitan hidup dan serba kekurangan, seorang ibu tunggal membuktikan disiplin dan kesabaran mampu mengubah impian menjadi kenyataan apabila bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas lebih 16 tahun menabung tanpa jemu.
Norhuda Hassan, 68, berkata, dia mula menyimpan di Lembaga Tabung Haji sejak 2009 dengan hanya RM100 sebulan, malah ada ketikanya sekadar RM30 apabila kewangan tidak mengizinkan.
Namun di sebalik jumlah kecil itu, tersimpan tekad besar seorang ibu itu yang tidak pernah mengalah, apatah lagi mengingati pesan arwah suaminya agar berjimat dan menabung demi menyahut seruan ke Tanah Suci.
“Kadang-kadang duit tak cukup, saya hanya mampu simpan RM30, tapi bulan seterusnya saya akan cuba ganti dan simpan lebih.
“Saya pegang pesan arwah suami supaya berjimat dan terus menabung kalau mahu ke Tanah Suci,” katanya ketika ditemui di Felda Kota Gelanggi Empat, di sini.
Menurutnya, selepas pemergian suaminya, Allahyarham Mohamed Mat Arip pada 2001, dia memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga, membesarkan empat anak yang ketika itu masih kecil.
Katanya, dalam keadaan harga sawit tidak menentu, musim buah melawas serta keperluan persekolahan anak yang meningkat, Norhuda tetap berpegang pada rutin menyimpan setiap bulan, walaupun terpaksa mengetepikan keperluan sendiri.
“Hanya bila ada lebihan daripada hasil sawit, saya tambah simpanan, tetapi saya tidak pernah tinggalkan tabungan bulanan , itu janji saya kepada diri sendiri dan arwah suami.
“Hasil kesabaran itu, simpanan saya mencecah hampir RM19,000 tahun lalu, namun hati ini diuji apabila masih belum menerima panggilan menunaikan haji walaupun sudah menunggu lebih sedekad,” katanya.
Tambahnya, walaupun ada yang mencadangkan supaya membuat rayuan atau menyertai pakej swasta, dia memilih untuk kekal dengan laluan biasa kerana kekangan kewangan sebagai golongan berpendapatan rendah.
“Ketika keputusan memaklumkan keluar pada awalnya saya terkilan tidak menerima berita untuk ke Mekah, tetapi pegawai Tabung Haji menasihatkan supaya bersabar.
“Alhamdulillah, kesabaran itu terjawab apabila saya menerima tawaran menunaikan ibadah haji tahun ini dan dijadual berangkat pada 5 Mei depan. Anak-anak banyak membantu membuat persiapan.
“Saya mengakui kegembiraan yang dirasai tetap diselitkan rasa sayu kerana arwah suaminya tiada untuk menyaksikan detik bermakna itu,” katanya.
Katanya, kisahnya menjadi bukti bahawa walaupun dalam kesempitan, disiplin menabung dan kesabaran yang tidak pernah luntur mampu membawa seseorang merealisasikan impian paling suci dalam hidup.- SAHIH.
