Longkang tersumbat, ulat ‘menjajah’ Pasar Ayam Jerantut
Foto : Jamaluddin mengambil inisiatif menyembur air ke dalam longkang.
Longkang tersumbat, ulat ‘menjajah’ Pasar Ayam Jerantut
JERANTUT – Bau busuk menyengat dari longkang di Pasar Ayam Jerantut mengundang rasa kurang senang pelanggan, apabila sistem aliran tersumbat hingga menyebabkan ulat merayap di kaki lima premis.
Keadaan itu bukan sahaja mencacatkan imej kawasan berkenaan, malah menimbulkan rasa geli dan tidak selesa terutama dalam kalangan pelanggan wanita yang terkejut melihat ulat-ulat berkenaan.

Longkang berulat apabila tersumbat.
Seorang peniaga, Jamaluddin Ali, berkata situasi itu pernah menjadi lebih teruk apabila ulat mula naik ke kaki lima kedainya, sekali gus menimbulkan rasa jijik.
“Saya pernah menjirus air panas ke dalam longkang berhampiran kedai untuk membunuh ulat yang merayap naik.
“Bau busuk pula memang tidak tertahan, sampai ada pelanggan terpaksa menekup hidung,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, keadaan bertambah buruk seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri apabila permintaan ayam meningkat, sekali gus menyebabkan sisa seperti bulu ayam menyumbat aliran longkang.
“Kedai saya di hujung blok, jadi aliran longkang sering tersekat di hadapan kedai akibat bulu ayam yang berkumpul di selekoh longkah.
“Saya percaya sistem longkang tidak efisien kerana binaannya tidak cukup condong untuk mengalirkan air,” katanya.
Beliau berharap pihak berkaitan dapat meningkatkan kekerapan kerja pembersihan dan semburan bagi memastikan aliran longkang lebih lancar serta mengurangkan masalah bau dan ulat.
Sementara itu, jurucakap Majlis Daerah Jerantut (MDJ) memaklumkan pihaknya telah memohon pihak Alam Flora untuk menjalankan semburan secara bulanan bagi menangani masalah berkenaan.
Menurutnya, kehadiran ulat berpunca daripada sisa ayam yang tidak diurus dengan sempurna, termasuk tindakan segelintir peniaga yang membuang bulu ayam ke dalam longkang.
“Peniaga diharap dapat bekerjasama dengan tidak melepaskan sisa ke dalam longkang dan menjaga kebersihan kawasan perniagaan,” katanya. -SAHIH.
