Warga emas rentung, kedai motosikal musnah 100 peratus
Warga emas rentung, kedai motosikal musnah 100 peratus
RAUB – Seorang warga emas lelaki ditemukan maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah kedai motosikal di Jalan Bukit Koman, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 7.39 malam itu, mangsa dipercayai berada di dalam premis berkeluasan 40×20 kaki persegi berkenaan ketika kebakaran berlaku.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.39 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub tiba di lokasi pada 7.46 malam.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kedai motosikal terbakar dengan kemusnahan 100 peratus.
“Terdapat seorang lelaki warga emas yang terperangkap di dalam premis dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kebakaran turut memusnahkan lima motosikal dan sebuah kenderaan jenis ATV yang berada di dalam kedai berkenaan dan semuanya musnah sepenuhnya.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Saiful Bahari Abdul Rahman selaku Komander Operasi dengan kekuatan tujuh anggota dari BBP Raub serta bantuan enam anggota dari BBP Bentong.
“Pasukan Keluaran Operasi menjalankan pemadaman menggunakan dua aliran hos air daripada tangki pam jentera bomba. Kebakaran berjaya dikawal pada 7.58 malam,” katanya.
Beliau berkata, Unit Forensik Kebakaran (FIO) Zon Lipis dimaklumkan bagi menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian.
Kes masih dalam siasatan.-SAHIH
