RAS UiTM ukir diplomasi hijau serantau di Surabaya
RAS UiTM ukir diplomasi hijau serantau di Surabaya
SURABAYA – Persatuan Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter (RAS UiTM SC) mengukir sejarah tersendiri apabila berjaya melaksanakan misi pengantarabangsaan Sustainable Horizons Indonesia Chapter 1.0, sekali gus memperkukuh diplomasi hijau dan kemanusiaan di peringkat serantau.
Pengarah Program, Najwa Mohamad Daud, berkata kejayaan misi yang berlangsung dari 17 hingga 23 Disember itu didorong kerjasama erat pelbagai pihak merentas sempadan Malaysia–Indonesia.
Menurutnya, program berkenaan menghimpunkan mahasiswa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bersama rakan strategik dari Indonesia bagi memperkasa kelestarian alam sekitar menerusi pertukaran ilmu serta pengalaman lapangan.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kolaborasi antara RAS UiTM SC dan American Institute of Chemical Engineers (AIChE) Student Chapter di Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Surabaya, dengan sokongan badan bukan kerajaan, Komunitas WEPOSE Indonesia.
Program berkenaan turut menerima dukungan penuh pihak universiti serta penajaan daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS), sekali gus melancarkan pelaksanaan aktiviti akademik, teknikal dan kemasyarakatan sepanjang misi.

Najwa berkata, lawatan teknikal ke beberapa fasiliti industri termasuk kilang minyak sawit, pusat pengurusan sisa berjadual dan tapak pelupusan akhir memberi pendedahan langsung kepada mahasiswa mengenai pengurusan air buangan perindustrian serta sisa berbahaya mengikut peraturan kerajaan Indonesia.
Selain itu, delegasi UiTM turut melaksanakan aktiviti pemuliharaan alam sekitar di kawasan bakau Wonorejo bagi memahami peranan benteng semula jadi dalam melindungi biodiversiti serta mengurangkan kesan perubahan iklim.
Program kemanusiaan bersama Komunitas Wepose di beberapa lokasi komuniti dan sekolah pula memberi dimensi baharu kepada mahasiswa dalam menyantuni masyarakat sambil menyemai kesedaran penjagaan alam sekitar di peringkat akar umbi.
Antara pengisian utama program ialah sesi Sustainability Insight Exchange yang memberi fokus kepada pengurusan sisa pepejal dan sisa elektronik (e-waste), termasuk isu pencemaran rentas sempadan serta kesan sisa kimia berbahaya terhadap kesihatan awam.
Program Waste2Art dan kempen No Single-Use Plastic turut diperkenalkan sebagai pendekatan kreatif ekonomi kitaran bagi mengurangkan sisa tekstil serta kebergantungan kepada plastik pakai buang dalam kalangan komuniti setempat.
Sementara itu, Penasihat RAS UiTM SC, Ts Nur Ain Zainuddin, berkata penglibatan mahasiswa dalam program antarabangsa itu membuktikan keupayaan mereka membawa nama Malaysia dan UiTM ke pentas global melalui kerjasama strategik serantau.

Beliau berkata sesi kuliah tamu di Institut Teknologi Adhi Tama Surabaya serta perbincangan bersama Dinas Lingkungan Hidup (DLH) Surabaya memberi pendedahan praktikal mengenai sistem rawatan air sisa perindustrian, ekonomi pekeliling dan pelaksanaan polisi hijau.
Kejayaan misi di Surabaya itu menjadi penanda aras penting kepada RAS UiTM SC untuk memperluas jaringan kolaborasi antarabangsa, dengan segala ilmu dan pengalaman diperoleh akan diaplikasikan demi manfaat komuniti di Malaysia selaras Matlamat Pembangunan Mampan.-SAHIH
