46 SANGKAR IKAN HANYUT, PENTERNAK RUGI HAMPIR RM400,000
46 SANGKAR IKAN HANYUT, PENTERNAK RUGI HAMPIR RM400,000
TEMERLOH: “Kami tak pernah lalui kejadian seteruk ini… 46 sangkar kami hanyut sekelip mata,” kata Muhammad Hanan Roslee, 30, seorang daripada empat rakan kongsi penternakan ikan patin dan tilapia yang kerugian hampir RM400,000 selepas sangkar mereka dihanyutkan arus deras.
Dalam kejadian pada 30 November lalu kira-kira jam 9.30 malam, semua 46 sangkar milik kumpulan penternak itu hanyut dibawa arus, menjadikan ia kejadian pertama seumpamanya berlaku sejak mereka menjalankan perusahaan berkenaan.
Muhammad Hanan berkata, anggaran kerugian hampir RM400,000 merangkumi sangkar yang rosak, ikan siap tuai, bahan apungan, benih, makanan serta kos membina dan memindahkan semula sangkar yang hanyut mengikut harga semasa.
Katanya, mereka menerima maklumat awal daripada penduduk kampung yang ternampak sangkar terbabit hanyut sebelum kumpulannya menemui struktur itu di Kampung Guai, Bera, kira-kira 20 kilometer dari lokasi asal.
“Walaupun berjaya ditemui, 14 sangkar rosak teruk , manakala selebihnya mengalami kerosakan kecil seperti jaring koyak dan rangka bengkok akibat terlanggar pokok.
Sebahagian ikan besar dapat diselamatkan, tetapi jumlahnya berkurang kerana banyak jaring koyak,” katanya.

Antara sangkar ikan yang tenggelam dan dipenuhi air berlumpur susulan peningkatan paras Sungai Pahang.
Menurutnya, ikan bersaiz kecil berusia tiga bulan pula mengalami luka dan banyak yang mati kesan daripada kejadian itu, manakala sebahagian besar ikan berusia enam hingga tujuh bulan yang sedia untuk dituai turut terjejas.
Beliau berkata, anggaran kos pemulihan sekitar RM400,000 diperlukan untuk membina semula sangkar baharu, membeli benih, makanan dan membawa pulang sangkar yang hanyut.
Harga semasa sebuah sangkar mencecah RM7,500 seunit.
“Kami perlukan enam hingga tujuh bulan untuk siapkan semula semua sangkar, itu pun bergantung kepada cuaca dan kemampuan mengumpul modal,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu memberi kesan besar kepada empat rakan kongsi terbabit kerana ada antara mereka bergantung sepenuhnya kepada ternakan tersebut sebagai sumber pendapatan utama bagi menyara keluarga dan membayar komitmen lain.
Muhammad Hanan berharap semua agensi berkaitan dapat menyalurkan bantuan sewajarnya bagi memastikan penternak kecil seperti mereka dapat meneruskan perusahaan.
“Kami hanya mahu bantuan yang dapat meringankan beban… apa bentuk sokongan pun amat kami hargai. Kami tetap berjuang untuk kekalkan kualiti patin sangkar Temerloh,” katanya.-SAHIH
