Ujian Penilaian DPL Sarawak tunjuk gambaran jelas pencapaian murid
Ujian Penilaian DPL Sarawak tunjuk gambaran jelas pencapaian murid
JERANTUT – Pelaksanaan Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLPS) terus menjadi perhatian apabila data pencapaian yang dikeluarkan kerajaan negeri itu menunjukkan gambaran jelas tahap penguasaan murid.
Melalui pentaksiran berstandard itu (UP-DPLS) , Bahasa Inggeris mencatat kelulusan tertinggi 90.97 peratus, diikuti Sains (84.71 peratus) dan Matematik (61.01 peratus), manakala kehadiran murid mencapai 99.46 peratus.
Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan (Kongres), Mohd Zapawi Mamat berkata data terperinci itu membolehkan Sarawak mengenal pasti jurang pembelajaran secara tepat, sekali gus merangka intervensi khusus bagi meningkatkan penguasaan murid dalam subjek lemah.
Namun beliau menegaskan pelaksanaan pentaksiran di Malaysia perlu kekal berpaksikan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menumpukan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) serta pengurangan peperiksaan berisiko tinggi.
“Perkembangan di Sarawak wajar diperhatikan kerana ia memberi nilai tambah yang boleh memperkukuh pentaksiran nasional, namun tumpuan utama tetap PBD dan UASA yang lebih holistic.
“Kongres menyokong pendirian KPM bahawa murid sekolah rendah tidak sepatutnya dibebankan dengan peperiksaan besar seperti UPSR.
Katanya, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), menilai perkembangan murid sepanjang tahun dan selaras usaha melahirkan murid seimbang dari segi kognitif, sahsiah dan kemahiran insaniah.
Bagaimanapun, beliau berkata terdapat ruang penambahbaikan di Semenanjung berikutan ketiadaan pentaksiran standard nasional yang mampu memberikan gambaran menyeluruh tahap penguasaan murid.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Sobri Yusof, berkata soalan UASA yang berbeza mengikut negeri dan sekolah serta pemberian Tahap Penguasaan (TP) yang dipengaruhi faktor dalaman menyebabkan ketidakselarasan antara pencapaian atas kertas dan kemampuan sebenar murid.
“Guru Tingkatan Satu mendapati ada murid berstatus TP4 dan TP5 masih lemah dalam asas seperti sifir dan pembinaan ayat.
“Pendekatan UP-DLPS boleh menjadi inspirasi tanpa perlu mengubah dasar secara drastik,” katanya.
Beliau mencadangkan KPM mempertimbang pelaksanaan Pentaksiran Standard Nasional bersifat diagnostik bagi murid Tahun 6, bukan untuk ranking sekolah tetapi bagi memperoleh data literasi, numerasi dan asas pembelajaran yang lebih objektif.
“Pentaksiran itu tidak bercanggah dengan pemansuhan UPSR kerana ia tidak berisiko tinggi, malah menyokong PBD dan disarankan penyelarasan UASA melalui pembinaan Bank Soalan Nasional bagi memastikan keseragaman aras kesukaran.
“Langkah ini memberi guru alat pentaksiran lebih stabil tanpa menjejaskan kuasa dasar KPM,” katanya.
Mohd Sobri berkata, penambahbaikan pentaksiran melalui penyelarasan berkesan akan membantu KPM menjamin kualiti pendidikan negara, selaras dengan keperluan murid dan konteks negeri seperti Sarawak. -SAHIH.
