Banjir landa tiga mukim di Raub, 80 penduduk dipindahkan
Foto : Anggota APM menjalankan operasi menyelamat.
Banjir landa tiga mukim di Raub, 80 penduduk dipindahkan
RAUB – Hujan lebat berterusan sejak petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah Raub dinaiki air, sekurang-kurangnya 80 penduduk daripada 32 keluarga dipindahkan ke lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 8 malam.
Banjir yang berlaku kira-kira jam 3.50 petang itu turut melibatkan tiga mukim utama iaitu Batu Talam, Dong dan Sega II dan kampung paling awal dinaiki air ialah Kampung Ulu Sungai sekitar jam 4 petang, diikuti Kampung Ria Semantan Ulu, Kampung Pia, Kampung Tersang dan Kampung Sengkela.
Menurut Sekretariat JPBD Raub, banjir berpunca daripada hujan lebat berterusan serta limpahan air sungai, mengakibatkan banyak kediaman terjejas dan ada mangsa masih menunggu bantuan kerana operasi menyelamat sedang dijalankan.
Antara kampung paling terkesan termasuk Kampung Ria dengan 30 mangsa, diikuti Kampung Ulu Sungai (25 orang) dan Kampung Pia (19 orang). Tiada kerosakan fasiliti awam dilaporkan.
Lima PPS telah dibuka bagi menempatkan mangsa di Balai Raya Kampung Ulu Sungai, Sekolah Kebangsaan Kundang Patah dan Dewan Kampung Pia, turut dijadikan PPS ialah di Sekolah Kebangsaan Kampung Tersang dan Balairaya Kampung Sengkela.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Raub memaklumkan bahawa pihaknya masih menjalankan operasi menyelamat bersama Polis, Bomba, JKM, RELA dan JKKK kampung.
“Paras air Sungai Lipis menunjukkan peningkatan dan keadaan cuaca masih hujan. Pasukan penyelamat berada di lokasi untuk membantu penduduk serta menguruskan pendaftaran mangsa di PPS,” katanya. -SAHIH.
