Makam Sa’ad bin Abi Waqqas jadi tumpuan pelancong Islam di Guangzhou, China
Makam Sa’ad bin Abi Waqqas jadi tumpuan pelancong Islam di Guangzhou, China
GUANGZHOU – Makam Sa’ad bin Abi Waqqas di Guangzhou terus menjadi destinasi ziarah utama pelancong Islam dari seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Saad bin Abi Waqqas adalah tokoh sahabat Nabi Muhammad SAW itu dikaitkan dengan penyebaran awal Islam di China, sekali gus menjadikan lokasi bersejarah berkenaan simbol hubungan awal antara dunia Arab dan masyarakat China.

Pintu gerbang ke Makam Saad Bin ABi Waggas
Berhampiran makam tersebut turut terletak Masjid Tua China atau Masjid Sa’ad Abi Waqqas, sebuah masjid bersejarah yang mempamerkan seni bina tradisional China dengan sentuhan Islam.
Keunikan struktur lama, suasana tenang serta nilai warisan yang dipelihara menarik perhatian pengunjung yang ingin merasai pengalaman ibadah dalam suasana penuh sejarah.
Kompleks itu juga berperanan sebagai pusat aktiviti masyarakat Islam setempat dengan penganjuran kelas agama, sambutan hari kebesaran Islam dan kunjungan ilmiah.
Ia menjadi lambang kelestarian warisan Islam di Guangzhou serta titik pertemuan budaya yang menghubungkan komuniti Muslim tempatan dengan pelawat antarabangsa.

Pelancong Malaysia yang berdiri di pintu masuk ke Makam Saad Bin ABi Waqqas
Walaupun tiada tarikh tepat mengenai kedatangan Sa’ad bin Abi Waqqas ke Guangzhou, tradisi Muslim China sering menyebut dua kemungkinan, kunjungan awal sekitar 616–619 Masihi atau kedatangan lebih popular sekitar 650 Masihi pada zaman Khalifah Uthman ibn Affan dan Dinasti Tang.
Catatan sejarah China hanya merekodkan kehadiran utusan Arab tanpa menyebut nama beliau secara khusus, menjadikan kisah itu kekal sebagai tradisi lisan yang berpengaruh dalam sejarah Islam di rantau tersebut.-SAHIH.
