Dilema Guru Hadapi Disiplin Murid Masa Kini
Dilema Guru Hadapi Disiplin Murid Masa Kini
JERANTUT: Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) menegaskan bahawa hubungan antara sekolah dan ibu bapa perlu diperkasa bagi memastikan isu disiplin murid dapat ditangani secara berkesan.
Persepsi negatif atau tindakan menuduh guru tanpa usul periksa, tegasnya, hanya akan merencatkan proses pendidikan serta meningkatkan tekanan dalam kalangan warga sekolah.

Presidennya, Mohd Zapawi Mamat, berkata realiti semasa menunjukkan guru kini berdepan dilema besar dalam melaksanakan tanggungjawab, bukan sahaja sebagai pendidik, malah turut memikul peranan sebagai pengurus disiplin, kaunselor, pentadbir dan penjawat awam yang perlu mematuhi pelbagai pekeliling.
“Ruang profesionalisme guru semakin mengecil apabila tindakan disiplin yang diambil sering dikhuatiri disalah tafsir hingga membawa kepada aduan, campur tangan luar atau tindakan undang-undang, keadaan ini menjejaskan keupayaan guru melaksanakan peranan mendidik secara holistik.
“Pada masa sama, beban dokumentasi seperti penyediaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH), laporan berkala dan pelbagai tugasan pematuhan turut menjejaskan fokus terhadap pembentukan sahsiah murid,” katanya.
Beliau berkata pembentukan akhlak dan sahsiah memerlukan masa serta ruang yang mencukupi, namun tuntutan pentadbiran yang semakin bertambah menyebabkan guru kehilangan kesempatan untuk memberi tumpuan penuh kepada aspek penting itu.
Mengulas lanjut, Mohd Zapawi berkata KONGRES menggesa mekanisme perlindungan undang-undang kepada guru dibentuk segera bagi memastikan mereka mempunyai hak sewajarnya ketika berdepan risiko tindakan undang-undang daripada pihak luar, termasuk ibu bapa.
“Selain itu, garis panduan sedia ada perlu diperkemas supaya guru jelas tentang batas, kuasa dan prosedur ketika menguruskan disiplin. Pada masa yang sama, mekanisme pembelaan mesti disediakan agar guru tidak menjadi mangsa tindakan yang tidak wajar,” katanya.
”KONGRES sering mengambil maklum pelbagai pandangan dan luahan guru di media sosial yang menggambarkan cabaran baharu profesion keguruan, khususnya berkaitan pengurusan disiplin murid serta beban tugas pentadbiran yang semakin kompleks,” katanya.
Beliau menegaskan komitmen KONGRES untuk terus memperjuangkan kebajikan, keselamatan dan martabat profesion perguruan, sambil menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membina keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara.
“Pendidikan berkualiti hanya dapat dicapai apabila guru diberikan sokongan, perlindungan dan penghargaan sewajarnya. Semua pihak – kementerian, pentadbir sekolah dan ibu bapa perlu bersama-sama membina ekosistem pendidikan yang sihat dan saling mempercayai demi masa depan modal insan negara,” katanya.-SAHIH.
