Jalan ke Sungai Kiol berlopak perlu dibaiki segera
Jalan ke Sungai Kiol berlopak perlu dibaiki segera
JERANTUT – Susulan aduan mengenai keadaan jalan berlopak di laluan menuju ke Kampung Orang Asli Sungai Kiol yang tular di Facebook semalam, pihak berkuasa tempatan bertindak segera bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna serta penduduk di kampung itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Negeri, Haris Salleh Hamzah, berkata beliau menerima maklumat awal daripada wakil komuniti berhubung keadaan jalan yang dipenuhi lopak dan rosak teruk sehingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk.
“Saya sudah menghubungi pihak Majlis Daerah Jerantut (MDJ) untuk mendapatkan status terkini berhubung pembaikan jalan tersebut.
“MDJ memaklumkan projek menaik taraf laluan berkenaan telah diangkat dan dijadualkan dilaksanakan pada awal tahun 2026. Namun bagi menjamin keselamatan orang awam, kerja awal pembaikan akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.
Haris berkata, laluan itu merupakan akses utama ke kampung itu dan kawasan peranginan Sungai Kiol, terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Jerantut dan kini berada dalam keadaan tidak selamat akibat permukaan jalan yang tidak rata, berlopak dan berlubang.
“Penduduk sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan kerana keadaan jalan semakin berbahaya, terutama apabila hujan dan pada waktu malam.
“Sebahagian tepi jalan rosak teruk dan berlumpur berikutan kerja-kerja mengorek bagi pemasangan kabel oleh pihak berkaitan.
“MDJ sudah memberi jaminan bahawa pembaikan sementara akan dilaksanakan segera sebelum kerja naik taraf penuh dijalankan pada 2026,” katanya.-SAHIH.
