AJK Muslimat Surau Ar-Rahman Santuni Warga Emas di PJMM
Foto : Abd Malik (tengah) melakukan penyerahan sumbangan barangan asas keperluan harian kepada Azman Rasman pada program lawatan baru-baru ini.
AJK Muslimat Surau Ar-Rahman Santuni Warga Emas di PJMM
SEMENYIH – Mengambil inisiatif seperti digerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ahli Jawatankuasa (AJK) Muslimat Surau Ar-Rahman, Taman Taming Impian, Selangor, mengadakan kunjungan mesra ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, bagi menyantuni warga emas di pusat berkenaan.
Kunjungan itu bertujuan menzahirkan keprihatinan terhadap penghuni dan petugas PJMM yang komited menguruskan pusat jagaan berkenaan sejak sedekad lalu. Dengan 17 petugas serta dibantu sukarelawan, PJMM menempatkan warga emas kurang bernasib baik, termasuk orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik, yang dirawat penuh kasih sayang.
Pengerusi Surau Ar-Rahman, Abd Malik Ab Rahim, berkata kehadiran beliau bersama 20 jemaah membawa barangan asas keperluan harian serta pulut kuning bagi memeriahkan sambutan 10 tahun penubuhan PJMM. Katanya, pihak surau terlebih dahulu mendapatkan maklumat mengenai keperluan pusat jagaan itu sebelum AJK Muslimat merangka kutipan barangan seperti beras, minyak masak, susu pekat, kopi, teh, sabun dan lain-lain.
“Program ini mendapat sokongan padu daripada jemaah dan penduduk setempat yang menyumbang dalam bentuk kewangan serta barangan keperluan. Sumbangan ini memudahkan usaha kami membantu meringankan beban pusat jagaan,” katanya.
Menurut beliau, rombongan turut berpeluang beramah mesra dengan warga emas, termasuk yang terlantar, sambil menyaksikan sendiri kaedah pengurusan harian seperti menyuap makanan, memandikan dan menukar pakaian penghuni.
Abd Malik berkata, kunjungan itu memberi keinsafan tentang nilai kasih sayang, empati dan kemanusiaan selain menyuntik rasa dihargai dalam diri penghuni. Katanya, nasib warga emas di PJMM mengingatkan masyarakat bahawa sesiapa sahaja boleh melalui situasi sama jika nilai tanggungjawab terhadap ibu bapa semakin pudar.
Beliau berkata, lawatan berkenaan juga membuka ruang kepada AJK Muslimat merancang lebih banyak program kebajikan melibatkan rumah anak yatim, keluarga miskin dan golongan asnaf. – SAHIH.
