Konvensyen Kebajikan Kerajaan Selangor
Foto : Perwakilan memberi tumpuan dalam Sesi Libat Urus bersama Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari.
Konvensyen Kebajikan Kerajaan Selangor
SHAH ALAM – Konvensyen Kebajikan Negeri Selangor bertemakan “Revolusi Penjagaan Untuk Kesejahteraan Sejagat” yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Seksyen 15, menjadi platform penting memperkukuh ekosistem kebajikan negeri dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, NGO serta wakil masyarakat.
Konvensyen yang diadakan itu membuka ruang perbincangan merangkumi dasar baharu, formula inovatif dan masa depan sistem kebajikan agar tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan sosial. Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, menjelaskan kerajaan negeri sudah merangka dasar khusus bagi memartabatkan petugas pusat penjagaan yang dianggap barisan hadapan dalam tugas sosial.
Beliau berkata, penyediaan kursus penjagaan kepada petugas bukan sahaja meningkatkan kualiti perkhidmatan, malah membantu menyeragamkan kefahaman mengenai peranan sebenar penjaga. Selain itu, Perbadanan Wakaf Selangor turut dijangka melaksanakan wakaf tunai bagi meringankan beban operasi pusat jagaan yang memenuhi syarat ditetapkan.
“Kerajaan negeri yakin usaha kolaboratif bersama NGO, agensi dan komuniti dapat meningkatkan kualiti pusat jagaan serta memastikan warga emas terus disantuni,” katanya sambil menambah isu berkaitan elaun penjagaan akan dibincangkan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim, pula berkata konvensyen ini menandakan perubahan penting daripada model penjagaan tradisional kepada pendekatan berasaskan komuniti, teknologi dan kolaborasi pelbagai pihak.
Pelbagai sesi perkongsian turut diadakan membabitkan tadbir urus, integriti, inovasi digital dan isu perkhidmatan alternative service delivery (ASD). Penolong Setiausaha Kehormat Pakar, Muhammad Syafiq Mohiadin, menekankan kepentingan etika digital serta kewaspadaan masyarakat terhadap penipuan dalam industri kebajikan.
Pengurus Pusat Jagaan Nur Hasanah, Kairul Ahmad, berkata konvensyen itu memberi pendedahan luas mengenai isu semasa ekonomi penjagaan, selain membuka peluang rangkaian profesional untuk kerjasama strategik masa depan.-SAHIH.
