Demi Empati Dua Sahabat Redah Pedalaman Bantu Komuniti Orang Asli
Foto : Nasiruddin Keling bersama pakaian terpakai dan barangan asas keperluan harian sumbangan pelbagai NGO dan individu prihatin untuk dihantar ke Pos Balar.
Demi Empati Dua Sahabat Redah Pedalaman Bantu Komuniti Orang Asli
GUA MUSANG – Berbekalkan empati dan jiwa kemanusiaan yang tinggi, dua sahabat sanggup meredah perjalanan jauh ke pedalaman demi memastikan komuniti Orang Asli di Pos Balar tidak terus hidup serba kekurangan.
Mereka bukan tokoh besar atau individu ternama. Namun bagi Hasmadi Ghazali dan Nasiruddin Keling, usaha membantu golongan memerlukan adalah tanggungjawab sosial, moral dan agama yang wajib dipikul selagi terdaya. Sejak awal September lalu, mereka menggerakkan kempen mengumpul dana serta barangan asas termasuk pakaian terpakai untuk diagihkan kepada 20 keluarga Temiar di pos itu.

Hasmadi Ghazali terpaksa menunggang motosikal untuk menghantar sumbangan orang ramai ke Pos Balar kerana jalan tanah yang berlumpur.
Hasmadi berkata, kerja sukarelanya bukan baharu, sebaliknya sudah bermula sejak tahun 2000 sebagai usaha menyampaikan dakwah Islam secara hikmah kepada masyarakat Orang Asli yang masih ketinggalan dari segi akses kemudahan asas.
Menurutnya, fokus terbaharu adalah membantu membina empangan air tandak bagi menyalurkan air terus ke rumah penduduk. Projek itu diyakini mampu mengurangkan risiko wanita dan kanak-kanak yang kini terpaksa mandi serta membasuh di sungai, sekali gus terdedah kepada ancaman harimau, beruang dan gajah.
“Kalau dana mencukupi, kami juga mahu pasang lampu solar di kawasan kampung supaya persekitarannya lebih selamat waktu malam,” katanya.
Kempen mereka tular selepas dikongsi di media sosial. Sambutan luar biasa diterima daripada orang ramai, termasuk pendidik, ahli jawatankuasa surau dan beberapa NGO yang prihatin. Ada yang menyumbang wang zakat, barangan runcit malah ada yang pernah membantu mengagihkan daging korban kepada komuniti itu pada Aidiladha sebelum ini.
Bagi Nasiruddin, yang mula aktif sebagai aktivis masyarakat selepas bersara daripada sektor kerajaan lapan tahun lalu, kerja kebajikan ini menjadi pengisi masa bermanfaat buat dirinya.
Katanya, meskipun bergerak sendiri, dia dikelilingi rakan-rakan pemurah yang sentiasa sedia menghulur bantuan. Sebelum ini dia pernah menguruskan sumbangan untuk keluarga miskin, asnaf, pusat tahfiz, sekolah pondok, malah sehingga ke Vietnam dan Indonesia.
“Saya hanya cari sumbangan, manakala agihan dilakukan pihak yang mengurus projek. Untuk Pos Balar, Hasmadi sendiri datang ambil barang di pusat pengumpulan di Pangsapuri 17 Tingkat, Kampung Kerinchi,” katanya.-SAHIH.
