Kesedaran dan Inspirasi – Kisah graduan tanpa negara, tanpa persekolahan formal, namun bergraduat Kelas Pertama
Kesedaran dan Inspirasi – Kisah graduan tanpa negara, tanpa persekolahan formal, namun bergraduat Kelas Pertama
UUM SINTOK , Kedah. -Kisah perjalanan hidup seorang graduan, Alma Nur Fajrina Abdul Razak, 26, menjadi simbol ketabahan dan kesedaran masyarakat tentang kepentingan dokumen pengenalan diri serta akses pendidikan untuk semua.
Dilahirkan tanpa sebarang dokumen rasmi, Alma hidup selama 23 tahun sebagai individu tanpa negara sebelum berjaya memperoleh MyKad pada 2022, setelah melalui proses pengesahan identiti yang panjang serta mencabar.

Hari ini, beliau berdiri megah menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan pencapaian kelas pertama.
Apa yang menjadikan kejayaan Alma lebih bermakna adalah hakikat bahawa beliau tidak pernah melalui sistem persekolahan formal ketika kecil akibat ketiadaan dokumen identiti.
Perjalanan pendidikannya hanya bermula pada usia 18 tahun, apabila Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Chow Kit menerima beliau sebagai pelajar.
“Perjalanan saya penuh liku kerana saya bermula dari kosong. Banyak perkara perlu saya pelajari sendiri. Pernah juga saya hampir berputus asa pada semester ketiga, tetapi dorongan pensyarah membuatkan saya terus melangkah
”Saya menzahirkan penghargaan kepada SBJK dan UUM yang membuka pintu pendidikan ketika saya belum memiliki sebarang dokumen,” katanya ketika ditemui selepas sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM yang disempurnakan oleh Pro-Canselor, DYTM Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah, baru-baru ini.
Setahun belajar di SBJK membolehkan Alma menduduki SPM dengan keputusan cemerlang. Beliau kemudian meneruskan pengajian ke Tingkatan Enam di Kolej Tingkatan Enam Pudu Jaya sebelum diterima masuk ke UUM pada 2021. Kini, Alma bekerja di Bank Islam Kuala Lumpur, meneruskan langkah baharu dalam hidupnya.
Kisah Alma menjadi peringatan penting bahawa pendidikan dapat mengubah nasib – asalkan peluang itu diberikan.-SAHIH.
