Kerajaan Galak ‘Ekonomi Penjagaan’ Demi Kesejahteraan Warga Emas
Foto: Masnah Mazlan dan Norhasliana Hashim merakamkan kenangan bersama-sama sebahagian 16 warga emas PJAAI.
Kerajaan Galak ‘Ekonomi Penjagaan’ Demi Kesejahteraan Warga Emas
Konsep ‘Care Economy’ atau ekonomi penjagaan kini diaktifkan oleh kerajaan bagi memperkukuh sistem penjagaan golongan yang memerlukan perhatian khas termasuk warga emas yang uzur dan perlu disantuni dengan penuh kasih sayang.
Pengerusi Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Pahang, Datuk Masnah Mazlan, berkata kewujudan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pusat jagaan seperti Pusat Jagaan Aisyah Al-Iman (PJAAI) amat bertepatan dengan hasrat itu.
Beliau menegaskan bahawa mereka yang menjaga warga emas, termasuk anak-anak yang mengurus ibu bapa di rumah, wajar diberikan imbuhan dan latihan khusus supaya tugasan dilakukan dengan betul dan berkesan.
Menurutnya, latihan amat penting bagi memastikan penjaga memahami keperluan fizikal serta emosi warga emas agar dapat mencapai tahap penjagaan yang sempurna. Sehubungan itu, NCWO kini sedang bekerjasama dengan Persatuan Fisioterapi Malaysia (PFM) untuk melatih sukarelawan, ahli NGO dan penjaga keluarga dalam aspek teknik penjagaan berkesan.
“Pembabitan tenaga fisioterapi akan membantu memberikan bimbingan yang betul agar tidak berlaku kesilapan dalam penjagaan.
”Asas ini penting bagi memastikan warga emas dijaga dengan penuh empati dan profesionalisme,” katanya ketika merasmikan Hari Terbuka dan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia di PJAAI, Pekan, baru-baru ini.
Masnah yang juga Timbalan Presiden NCWO Malaysia menambah, perhatian juga perlu diberikan kepada kesihatan mental warga emas agar mereka tidak berasa tertekan atau tersisih. Beliau menggalakkan pusat jagaan menganjurkan aktiviti riadah dan sosial bagi mengekalkan suasana ceria serta keseimbangan emosi penghuni.
Sementara itu, Pengurus PJAAI, Norhasliana Hashim, berkata pusat jagaan itu yang beroperasi sejak setahun lalu menerima warga emas yang uzur dan tidak mempunyai tempat bergantung. Dengan sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pelbagai pihak lain, PJAAI terus berperanan sebagai pusat perlindungan sosial.
“Diharapkan lebih banyak pihak tampil menghulur bantuan agar operasi dapat diteruskan demi kebajikan warga emas,”katanya.-SAHIH.
