KGMMB tegas sokong pelaksanaan UASA, tolak polemik jejas dasar pendidikan
KGMMB tegas sokong pelaksanaan UASA, tolak polemik jejas dasar pendidikan
JERANTUT: Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menegaskan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi terhadap pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) serta pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Presidennya, Mohd Sobri Yusuf, berkata KGMMB berdiri teguh di belakang setiap dasar baharu KPM yang diyakini bertujuan memperkukuh sistem pendidikan negara serta memartabatkan profesion keguruan.
“Cukuplah dengan polemik dan kekeliruan yang hanya melemahkan semangat warga pendidik. Setiap dasar KPM digubal hasil kajian menyeluruh dan berpaksikan kepentingan murid serta masa depan pendidikan negara.
“ KGMMB akan memainkan peranan lebih agresif dalam memastikan pelaksanaan UASA berjalan lancar di semua peringkat sekolah, seiring dengan matlamat Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menekankan pembangunan holistik murid.
Menurutnya, KGMMB bersedia bekerjasama rapat dengan KPM untuk memperkukuh kefahaman dan pelaksanaan dasar ini melalui latihan, bimbingan serta sokongan profesional kepada warga guru di seluruh negara.
“Pendekatan pendidikan bagi murid Tahun 1 hingga Tingkatan 3 wajar kekal berasaskan pembangunan nilai, kemahiran dan karakter, bukan semata-mata berorientasikan peperiksaan. Langkah ini, katanya, mampu merapatkan jurang pencapaian akademik dan membina keyakinan diri murid.
“Fasa ini adalah tempoh growth learning di mana murid perlu diberi ruang untuk berkembang secara menyeluruh — bukan ditekan dengan peperiksaan berasaskan keputusan semata-mata,” katanya.
Namun, katanya, bagi peringkat menengah atas (Tingkatan 4 dan 5), peperiksaan tetap relevan dan perlu dikekalkan sebagai kayu ukur akademik serta panduan menentukan hala tuju kerjaya atau pengajian tinggi.
Sementara itu, Mantan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, Mohd Sofi Hamzah berkata, namun menegaskan bahawa saringan pentaksiran asas di akhir sekolah rendah tetap penting bagi menilai tahap penguasaan murid.
“Tidak perlu seperti UPSR sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya adakan ujian bagi subjek teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains secara objektif.
”Tanpa sebarang bentuk peperiksaan atau pentaksiran, murid sekolah rendah dikhuatiri belajar tanpa arah dan motivasi yang jelas. Waktu yang sama, pentaksiran berterusan wajar diadakan juga untuk menilai sahsiah, disiplin dan adab murid,” katanya. -Sahih.
