Rakyat Tolak Retorik PAS, Pahang Terus Kukuh Dengan Prestasi dan Agenda Rakyat
Foto : Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Rakyat Tolak Retorik PAS, Pahang Terus Kukuh Dengan Prestasi dan Agenda Rakyat
LIPIS – Program Hogoh Jelai anjuran PAS baru-baru ini yang gagal mencapai sasaran kehadiran, dilihat sebagai isyarat jelas bahawa rakyat mula menolak retorik politik sempit parti itu.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya rakyat kini menilai berdasarkan prestasi dan kemampuan kerajaan negeri pimpinan yang terus menumpukan kepada pembangunan sebenar rakyat.
Kata beliau, Aspirasi Pahang 1st bukan sekadar satu slogan, sebaliknya ia merupakan dasar negeri yang menjadi tunjang kepada hala tuju pembangunan dan pentadbiran negeri sejak awal pentadbiran kerajaan kini.
“Kerajaan Negeri Pahang terus mengorak langkah melalui pelbagai inisiatif di bawah payung Aspirasi Pahang First yang memfokuskan kepada teras utama iaitu ekonomi, agama, TVET, dan kesejahteraan rakyat.
“Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka sahaja menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM3 juta, selain manfaat besar daripada kelulusan projek menaik taraf Jalan Sinderut–Jalan Titom dengan nilai keseluruhan RM320 juta, khusus untuk kerja jalan sahaja,” katanya hari ini.
Beliau berkayta demikian di Majlis Perasmian Jalan dan Jambatan Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Mela, Lipis.
Katanya, selain itu, Akademi Pahang First turut membuktikan keberkesanan dasar pendidikan negeri apabila Pahang kini berada di tempat keempat terbaik nasional selepas Pulau Pinang, Johor dan Selangor, hasil penilaian KDNK 2024 sebanyak 5.7 peratus, meningkat ketara berbanding 17.9 peratus bagi tempoh 2018–2024.
“Berbanding PAS yang ghairah memainkan persepsi dan fitnah, kepimpinan Pahang lebih memilih untuk bekerja dan menyantuni rakyat secara nyata, cukai tanah bagi pemilik bawah 10 ekar tidak dinaikkan, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap beban rakyat luar bandar.
“Dalam aspek kebajikan Islam pula, kerajaan negeri yang kononnya dituduh ‘tidak Islamik’ dan ‘sekular’ oleh pihak pembangkang tetap menunjukkan keutamaan terhadap umat Islam antaranya menyalurkan bantuan tunai RM750 kepada setiap jemaah haji dari Pahang tahun ini, satu langkah yang tidak pernah dilakukan oleh pihak yang mendabik dada memperjuangkan Islam,” katanya.
Katanya, rakyat kini sudah matang menilai, mereka tidak lagi mudah terpedaya dengan retorik politik yang hanya pandai berbicara di pentas, tetapi gagal membawa hasil nyata.
“Pahang kekal di landasan kukuh, mengutamakan pembangunan, kesejahteraan dan masa depan rakyat berasaskan realiti, bukan retorik,” katanya.-SAHIH.