Guru hilang semangat didik pelajar akibat sekatan kuasa dan tekanan
Guru hilang semangat didik pelajar akibat sekatan kuasa dan tekanan
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Hajah Salamiah Mohd Nor meluahkan rasa kecewa terhadap situasi semasa dunia pendidikan apabila mendakwa ramai guru kini hilang semangat untuk mendidik akibat sekatan kuasa serta campur tangan berlebihan daripada ibu bapa.
Beliau yang juga wakil Perikatan Nasional (PN) dan bekas guru disiplin dengan pengalaman lebih 30 tahun berkata, ramai rakan seperjuangannya di sekolah kini hanya mampu mengajar bagi memastikan pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tanpa ruang untuk membentuk sahsiah serta mendidik disiplin.
Katanya, guru kini tidak lagi boleh menegur atau mengenakan tindakan berhemah terhadap pelajar menyebabkan semangat mereka sebagai pendidik semakin pudar.
Keadaan itu, jelasnya, menjadikan profesion perguruan tidak lagi dihormati seperti dahulu.
“Guru hanya boleh pastikan pelajar dapat A. Nak menegur pun tidak boleh, apatah lagi merotan.
Jiwa pendidik kini tertekan kerana mereka tidak lagi diberi kuasa mendidik dengan berhemah,” katanya ketika berucap di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata, situasi semakin membimbangkan apabila ramai pelajar kini lebih leka dengan telefon pintar serta hiburan di media sosial hingga menjejaskan minat mereka untuk belajar.
Katanya, kesan ketagihan terhadap gajet turut menyebabkan pelajar gagal memberi tumpuan dan mudah berputus asa dalam pelajaran.
“Ramai pelajar selepas SPM tidak mahu menyambung pelajaran kerana terlalu seronok dengan dunia telefon bimbit. Kementerian perlu buat post-mortem — kenapa anak-anak kita hilang minat belajar?” katanya.

Salamiah turut menegur sikap segelintir ibu bapa yang sering mempertahankan anak apabila ditegur guru hingga menyebabkan pendidik takut mengambil tindakan disiplin kerana bimbang dipersalahkan.
Menurutnya, tindakan itu hanya akan menjejaskan hubungan antara guru dan pelajar serta melemahkan sistem pendidikan negara.
Beliau turut membacakan surat daripada sekumpulan guru di kawasannya yang memohon supaya peraturan berkaitan kuasa disiplin guru dikaji semula termasuk Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 yang disifatkan tidak lagi sesuai dengan cabaran pendidikan masa kini.
Katanya, peraturan itu menghadkan kuasa guru termasuk larangan membawa rotan hingga menjejaskan keberkesanan membentuk sahsiah murid.
“Kalau hukuman berhemah seperti rotan dilakukan dengan penuh hikmah dan kasih sayang, ia masih relevan serta selari dengan prinsip pendidikan Islam.
Guru disiplin berpengalaman sepatutnya diberi kuasa mendidik, bukan sekadar menasihati,” katanya.
Ahli Parlimen itu turut mencadangkan supaya kuasa disiplin diperluas kepada guru disiplin yang dilantik secara rasmi, selain pendekatan berasaskan nilai Islam dan budaya tempatan diberi tempat dalam dasar pendidikan negara.
Katanya, pendidikan bukan sekadar mengejar A, sebaliknya membina jiwa insan, dan jika kurikulum serta disiplin tidak diperbetulkan, negara bakal kehilangan generasi berakhlak.-SAHIH