Lawatan Warga Emas Koperasi Ex-Rail Bhd Erat Ukhuwah dan Tingkat Kesihatan
Foto : Ahli-ahli Koperasi Ex-Rail Bhd merakam kenangan dalam program lawatan ke Cameron Highland, Pahang.
Lawatan Warga Emas Koperasi Ex-Rail Bhd Erat Ukhuwah dan Tingkat Kesihatan
CAMERON HIGHLANDS – Program lawatan khusus membabitkan warga emas bukan sahaja memberi peluang meningkatkan kesihatan fizikal, malah menjadi platform untuk kekal aktif secara sosial dan mental bagi kesejahteraan menyeluruh golongan itu.
Menyedari kepentingan keseimbangan antara aktiviti fizikal, mental dan sosial, Koperasi Ex-Rail Bhd buat julung kalinya menganjurkan lawatan santai ke Cameron Highlands, Pahang selama dua hari bermula 1 Oktober lalu yang disertai 44 ahlinya, majoritinya warga emas.
Ketua Pegawai Operasi koperasi berkenaan, Abdul Rahim Osman, berkata program itu bukan sekadar bersantai dan berlibur, tetapi turut mengeratkan ukhuwah sesama ahli yang kebanyakannya jarang berjumpa selepas bersara daripada Keretapi Tanah Melayu (KTM).
“Selain berehat dan menikmati keindahan alam, mereka juga dapat berlapang dada serta berfikir mengenai idea baharu untuk membantu memajukan koperasi dalam bidang perniagaan,” katanya sambil menjelaskan program itu sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) koperasi.

Ahli-ahli Koperasi Ex-Rail Bhd tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan di kebun teh.
Antara lokasi dikunjungi termasuk Blue Valley Tea Kuala Terlah, Kea Farm Brinchang, Bharat Tea Tanah Rata dan Pasar Pagi Orang Asli Ringlet.
Koordinator rombongan, Abdul Razak Mohd Yusoff, pula berkata lawatan itu menjadi titik permulaan bagi koperasi menilai minat ahli terhadap aktiviti pelancongan yang memberi manfaat kepada kecerdasan kesihatan.
“Anak-anak turut memberi galakan kepada ibu bapa mereka menyertai lawatan ini bagi membuka minda dan menghirup udara segar, sekali gus mengelak daripada terus terperap di rumah,” katanya.
Beliau menambah, program seumpama itu memberi idea kepada koperasi untuk menganjurkan projek pelancongan sosial pada kos berpatutan bagi menjana pendapatan dan membantu ahli yang dikategorikan miskin atau asnaf.
Bagi salah seorang peserta, Zainab Hashim, 65, pengalaman mengikuti lawatan tersebut amat bermakna kerana dapat berhibur bersama rakan lama sambil menghilangkan tekanan.
“Ia lebih seronok daripada keluar bersama anak kerana kami dapat bertanya khabar dan mengeratkan silaturahim sesama ahli,” katanya.-SAHIH.