KOME CAKNA TEGUR ISU HIDANGAN ARAK DALAM MAJLIS RASMI
KOME CAKNA TEGUR ISU HIDANGAN ARAK DALAM MAJLIS RASMI
TEMERLOH – Persatuan Orang Merdeka dan Cakna Temerloh (KOME CAKNA) menegur keras isu tular berkaitan dakwaan hidangan arak dalam satu majlis rasmi kerajaan yang dikaitkan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Pengerusinya, Jamil Yaakub, berkata majlis rasmi kerajaan sepatutnya mencerminkan adab, nilai serta identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang menghormati kepelbagaian kaum dan agama.
“Kalau benar arak dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan, perkara ini amat tidak wajar dan menyalahi tatacara majlis seperti yang dinyatakan dalam Pekeliling Perbendaharaan.
“Kami faham mungkin majlis itu dianjur bersama pihak luar, tetapi kerajaan tetap bertanggungjawab untuk memantau serta mengawal agar imej negara tidak tercemar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, rakyat berhak melihat teladan yang baik daripada kementerian dan agensi kerajaan, bukannya perkara yang boleh menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat.
Beliau turut menggesa kerajaan supaya segera mengeluarkan penjelasan rasmi dan memperketatkan tatacara pelaksanaan majlis rasmi agar perkara seumpama itu tidak berulang.
“KOME CAKNA percaya kemajuan sektor pelancongan tidak sepatutnya datang dengan menggadaikan maruah dan nilai kita sebagai sebuah bangsa yang beradab.
“Majlis rasmi mesti ada adab dan mesti ada hormat,” katanya.
Jamil menegaskan pihaknya akan terus bersuara dalam isu yang melibatkan sensitiviti masyarakat serta maruah negara.
“Cakna demi maruah, teguh demi negara, itulah prinsip kami,” katanya.-SAHIH