Rakyat terbeban, Kome Cakna desak pemutihan lesen & saman
Rakyat terbeban, Kome Cakna desak pemutihan lesen & saman
Persatuan Orang Merdeka dan Cakna Temerloh (Kome Cakna) menggesa kerajaan serta pihak berkuasa mempertimbangkan mekanisme lebih adil bagi membantu rakyat, khususnya golongan B40 dan M40, yang gagal memperbaharui lesen memandu sehingga menjejaskan kelayakan mereka menerima subsidi kerajaan.
Pengerusinya, Jamil Yaakub, berkata isu lesen ini bukan semata-mata soal undang-undang, sebaliknya berkait rapat dengan kos sara hidup yang kian menekan.

Katanya, ramai rakyat tidak menolak peraturan jalan raya, namun tersepit kerana saman tertunggak serta denda yang terlalu tinggi.
“Ramai sebenarnya mahu memperbaharui lesen, tetapi terbeban dengan saman yang mencecah ratusan ringgit. Bila tidak mampu bayar sekaligus, mereka terus memilih untuk menangguh.
Akhirnya lesen tamat tempoh, subsidi kerajaan terhalang, dan rakyat jadi mangsa keadaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut beliau, proses pembaharuan lesen juga disifatkan tidak mesra rakyat apabila sebahagian mereka tersekat dengan halangan teknikal serta beban kewangan yang tidak setimpal.

Sehubungan itu, Kome Cakna mencadangkan beberapa langkah praktikal termasuk memperkenalkan pelan bayaran ansuran saman pada kadar mampu milik, selain memberi pengecualian atau pengurangan denda bagi kes lama tertentu.
“Kerajaan juga wajar melancarkan kempen khas pemutihan lesen dan saman. Ia bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah mengembalikan mereka ke sisi undang-undang dengan cara lebih bermaruah,” ujarnya.
Beliau menegaskan, langkah tersebut mampu meningkatkan kadar pematuhan undang-undang serta keselamatan jalan raya apabila lebih ramai pemilik kenderaan kembali memiliki lesen sah.
“Kome Cakna akan terus bersuara demi rakyat.
Kami yakin dengan sedikit ruang belas ihsan, masalah ini dapat ditangani tanpa menjejaskan pendapatan negara dan maruah rakyat,” katanya.-SAHIH