Tiada lesen lebih 3 tahun, subsidi RON95 disekat automatik
Tiada lesen lebih 3 tahun, subsidi RON95 disekat automatik
PUTRAJAYA – Rakyat tempatan yang gagal memperbaharui lesen memandu melebihi tiga tahun tidak akan layak menerima subsidi petrol RON95 secara automatik di bawah program BUDI MADANI RON95.
Menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), setakat ini terdapat 2.4 juta pemegang lesen memandu kompeten (CDL) yang berada dalam status tidak aktif kerana lesen mereka tamat tempoh lebih tiga tahun.
Golongan ini bukan sahaja hilang kelayakan subsidi RON95, malah perlu menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) Bahagian 2 dan 3 sekiranya mahu mengaktifkan semula lesen.
Sistem Kementerian Kewangan (MOF) akan menyekat secara automatik pemberian subsidi kepada individu yang tidak mempunyai lesen sah.
“Sekiranya lesen memandu tidak diperbaharui melebihi tiga tahun, rekod pemegang lesen akan dipadam dan mereka dianggap tidak layak menikmati subsidi RON95,” lapor Berita Harian.
Dalam pada itu, daripada lebih 15 juta lesen memandu aktif, seramai 925,421 pemegang lesen dikenal pasti masih belum memperbaharui lesen tetapi tempoh tamatnya kurang tiga tahun, termasuk 154,641 orang yang hampir mencapai had tiga tahun.
Golongan ini diingatkan segera memperbaharui lesen bagi mengelakkan sekatan subsidi dan keperluan menduduki semula ujian pemanduan.
Orang ramai disaran menyemak status lesen masing-masing di portal JPJ atau kaunter JPJ terdekat bagi memastikan kelayakan mereka tidak terjejas.-SAHIH.