Pengusiran Kampung Sungai Baru Cetus Ketegangan
Pengusiran Kampung Sungai Baru Cetus Ketegangan
KUALA LUMPUR – Suasana tegang menyelubungi Kampung Sungai Baru hari ini apabila tindakan pengusiran penduduk oleh bailif mahkamah bertukar kecoh sehingga mengakibatkan dua individu cedera.
Mangsa terlibat ialah seorang peserta protes, Hoslan Hussin yang cedera di bahagian tangan serta Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman yang mengalami kecederaan di kepala.
Kekecohan itu berlaku susulan kegagalan pihak berkenaan mencapai kesepakatan mengenai pelaksanaan pengusiran 23 keluarga kampung terbabit yang diarahkan berpindah bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula kawasan tersebut.
Ketua Penerangan BERSATU Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, penguat kuasa seharusnya menjadi pengimbang dalam melaksanakan undang-undang tanpa menjejaskan keselamatan awam.
“Malangnya, ada peserta termasuk penduduk kampung yang dilayani dengan kekasaran ketika cuba mempertahankan hak mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan MADANI perlu memastikan penempatan sementara disediakan kepada semua penduduk yang terjejas sebelum mereka mendapat kediaman kekal.
“Setakat ini, masih tiada penempatan disediakan. Barangan peribadi penduduk pula telah dikeluarkan dan dipindahkan ke lokasi yang tidak dimaklumkan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, isu berkenaan bukan sekadar soal pematuhan undang-undang, sebaliknya menyentuh hak asasi manusia kerana kebanyakan penduduk adalah warga emas dan ada yang masih menanggung anak kecil.
Katanya, kerajaan perlu tampil dengan penyelesaian yang adil agar kebajikan rakyat terbela dan insiden seumpama itu tidak berulang.
“Selain pembangunan, kelangsungan hidup penduduk juga wajar diutamakan,” jelasnya.
Insiden di Kampung Sungai Baru itu sekali lagi membuka perdebatan mengenai keseimbangan antara pembangunan bandar dengan hak komuniti setempat yang sudah sekian lama mendiami kawasan tersebut.-SAHIH