UMNO Jerantut tekad bangkit, fokus perpaduan dan politik digital hadapi PRU-16
UMNO Jerantut tekad bangkit, fokus perpaduan dan politik digital hadapi PRU-16
JERANTUT – UMNO Bahagian Jerantut menegaskan komitmen padu untuk kembali sebagai kubu kuat parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dengan menumpukan kepada pengukuhan perpaduan dalaman serta penglibatan aktif dalam medan politik digital.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kekalahan kawasan Parlimen Jerantut pada PRU-15 tidak boleh dibiarkan berulang dan menjadi tanggungjawab bersama seluruh jentera parti untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
“Kita yakin, dengan semangat bersatu, UMNO Jerantut mampu merampas semula kerusi yang tewas. Namun, usaha itu mesti bermula dengan pengukuhan perpaduan di semua peringkat mulai sekarang.
“Kekalahan lalu perlu dilihat sebagai iktibar dan satu rahmat tersembunyi yang menyemarakkan semangat baharu dalam kalangan pimpinan dan akar umbi UMNO Jerantut,”. katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut kali ke-37, semalam.
Kata beliau, BN yang diterajui UMNO memiliki peluang besar bukan sekadar untuk mempertahankan kerusi sedia ada, malah berpotensi meraih majoriti dua pertiga di peringkat nasional bagi menjamin kestabilan politik dan tadbir urus yang lebih berkesan.
“Kepentingan penglibatan aktif dalam politik digital dan penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) untuk menangani persepsi negatif pembangkang serta menarik sokongan golongan muda.
“Perang politik hari ini tidak lagi hanya di pentas ceramah, tetapi di medan digital. UMNO tidak boleh ketinggalan dalam era ini,” katanya.
Katanya, justeru itu, beliau menyeru seluruh ahli UMNO dan rakan gabungan BN di Jerantut agar mengetepikan segala perbezaan demi matlamat bersama untuk memastikan kemenangan pada PRU-16.
“Dengan semangat perpaduan baharu ini, saya yakin UMNO Jerantut mampu bangkit dan kembali menjadi kubu kuat parti,” katanya.-SAHIH.